Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN, 12 Januari – Pelabuhan Pulau Pinang akan terus berperanan sebagai pintu masuk utama logistik bagi wilayah Utara, dan tidak dibangunkan sebagai hab pemindahan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peranan sebagai hab pemindahan utama negara ketika ini kekal disandang Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Manakala Pelabuhan Klang terus menjadi pintu masuk utama negara.

Menurut beliau, penetapan peranan Pelabuhan Pulau Pinang itu selari dengan keperluan industri di wilayah Utara, khususnya sektor pembuatan di Pulau Pinang serta aliran kargo dari selatan Thailand.

Ia penting sebagai pintu masuk wilayah Utara kerana asas perindustrian yang kukuh, selain menyokong pergerakan kargo rentas sempadan dari Thailand.

“Kapasiti semasa pelabuhan itu ialah 2.3 juta TEU, dan melalui pelan pembangunan jangka panjang, kapasiti berkenaan disasarkan meningkat kepada 6.8 juta TEU.

Namun, peluasan kapasiti itu bukan bertujuan menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang setara dengan Pelabuhan Klang atau PTP dari segi jumlah pengendalian,” katanya.

Anthony Loke berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-70 Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) di sini.

Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, serta Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya turut memberi keutamaan kepada peningkatan kecekapan operasi pelabuhan, termasuk peluasan laluan rel di dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang.

Menurutnya, laluan rel sedia ada yang pendek menyebabkan sebahagian gerabak tidak dapat masuk sepenuhnya ke kawasan pelabuhan, sekali gus menjejaskan aliran trafik di sekitar kawasan itu.

“Sehubungan itu, laluan rel berkenaan akan diperluaskan kira-kira 500 meter bagi membolehkan keseluruhan tren masuk terus ke kawasan pelabuhan.

Langkah tersebut dijangka dapat melancarkan operasi pelabuhan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar,” ujarnya lagi.-Berita RTM