BANGI: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyediakan latihan induksi keselamatan serta kesihatan percuma kepada 10,000 pekerja sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata inisiatif dikenali sebagai Program Induksi Keselamatan Industri Pelancongan (SITI) itu bagi memastikan pekerja pelancongan memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan susulan jangkaan ketibaan kira-kira 47 juta pelancong asing disasarkan tahun ini.
Beliau berkata, program dilaksanakan menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) dengan peruntukan RM2.65 juta itu terbuka kepada semua pekerja sektor pelancongan termasuk pemandu pelancong, usahawan pelancongan, pekerja hotel, pemandu, kontraktor, pengendali dan katerer.
“Keselamatan dan kesihatan tidak boleh dikompromi, terutama dalam industri perkhidmatan.
“Pelancong mungkin ada jangkaan berbeza dari segi perkhidmatan, namun apabila membabitkan keselamatan, tidak ada ruang untuk berkompromi,” katanya selepas melawat NIOSH, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Ramanan berkata, program sehari itu merangkumi tujuh jam latihan dan berfungsi sebagai induksi asas mengenai keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mengikut undang-undang sedia ada, termasuk Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022.
Beliau berkata, peserta yang menamatkan kursus akan menerima pasport keselamatan digital dalam bentuk e-kad yang sah, yang turut merangkumi perlindungan insurans 24 jam selama dua tahun, terpakai di dalam dan luar negara.
“Pasport digital ini menjadi bukti peserta sudah menjalani latihan dan mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan semasa,” katanya.
Ramanan berkata, program ini akan dilaksanakan sama ada secara dalam talian atau bersemuka, dengan pendaftaran dalam talian dibuka pada 25 Januari ini menerusi www.niosh.com.my.
Beliau berkata, tiada tarikh tutup ditetapkan bagi permohonan, dengan pendaftaran dibuat berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat sehingga semua 10,000 tempat dipenuhi.
Katanya, inisiatif ini mencerminkan kerjasama antara KESUMA dan MOTAC yang berperanan penting memastikan pekerja pelancongan dilatih secukupnya sepanjang kempen TMM2026.
“Jika sambutan menggalakkan, kami akan menilai semula program ini dan mempertimbangkan untuk memperluaskannya.
“NIOSH juga akan melaksanakan beberapa inisiatif tambahan pada tahun ini, termasuk program latihan keselamatan untuk perusahaan kecil dan sederhana serta projek penyelidikan jangka panjang, yang diumumkan secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Niosh, Datuk Ayop Salleh berkata, program SITI akan memberi tumpuan kepada lima komponen utama termasuk pencegahan insiden, undang-undang dan peraturan keselamatan serta kesihatan pekerjaan, pengenalpastian bahaya dan langkah keselamatan khusus bagi sektor pelancongan, kawalan risiko, serta sesi penilaian pada akhir program.-BH Online
