KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini melaungkan amaran tegas budaya hedonisme yang tidak berakhlak serta keji dalam kem-kem tentera perlu dibanteras dan mereka yang terbabit akan disingkirkan daripada perkhidmatan.
Beliau mengingatkan, tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan di mess pegawai dan Wisma Perwira.
“Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup Islam.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM sememangnya sudah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara, dan kita sudah menetapkan peraturan serta garis panduan yang jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita. Aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, tiada sesiapa harus menerima segala bentuk pelecehan hak asasi dan tiada wanita harus dijadikan objek seks serta hiburan di mess dan Wisma Perwira.
“Kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji daripada perkhidmatan.
“Sebelum ini, kita tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini,” katanya.
Beliau menegaskan, kenyataannya itu juga bukan amaran kosong dan terpakai kepada mereka yang cuba merosakkan imej MINDEF dan ATM.
“Amaran saya juga kepada mereka yang menghabiskan masa bermain golf di luar waktu yang dibenarkan, atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan.
“Masa bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya. Justeru, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenar dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.
“Kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman kerana masa bekerja juga bukan untuk kita bersosial di media sosial. Segala pandangan kita di media sosial mesti memaparkan etika kita sebagai anggota pertahanan negara,” katanya.-BH Online
