KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 syarikat kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tender perolehan Tentera Darat.
Sumber berkata, semua pemilik syarikat itu disiasat dan tidak menolak kemungkinan mereka akan direman bagi membantu proses itu.
“SPRM memulakan siasatan terhadap semua 26 syarikat itu kira kira jam 11 pagi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan itu yang dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
SPRM pada 23 Disember lalu hadir ke Kementerian Pertahanan dan menyiasat projek dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Sehari selepas itu, SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.-BH Online
