KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan tidak akan berkompromi sebarang unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kalangan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian sentiasa memandang serius setiap aduan dan laporan diterima, namun menegaskan ada juga aduan bersifat tuduhan tanpa disertakan bukti kukuh, sekali gus berpotensi menjejaskan kredibiliti serta nama baik ATM sekiranya dibiar berlarutan.
“Kita tidak memaafkan apa-apa unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan. Itu kita punya pendirian,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Kampung Makam di Pengkalan Kota di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan tuduhan dilemparkan terhadap beliau oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Penafian itu dibuat susulan dakwaan Chegubard yang mengaitkan nama Sabri dengan isu salah guna kuasa dan rasuah termasuk pendedahan beberapa dokumen yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa.
Tuduhan itu sekali gus mengheret nama PUSPAHANAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta ATM.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata pihak yang terjejas dengan tuduhan tanpa bukti akan mengambil tindakan perundangan bersesuaian bagi menunjukkan bahawa tuduhan-tuduhan itu tidak betul.
Katanya, tindakan itu wajar dan perlu dilakukan untuk membersihkan nama baik ATM.
“Jadi wajar untuk mana-mana pihak berhati-hati dalam perkara ini.
“Tentunya saya sebagai menteri bertanggungjawab akan pastikan tindakan sesuai perlu dilakukan supaya fitnah ataupun persepsi, kerja-kerja bangunkan persepsi negatif ini dapat dihalang supaya tidak menjejaskan nama baik ATM,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled mengakui tidak dimaklumkan perkembangan kesihatan seorang pegawai kanan yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terarah kepada projek dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Beliau berkata, setakat ini MINDEF belum mendapat apa-apa maklumat daripada SPRM berhubung siasatan terbabit.
“Dia (pegawai kanan) sekarang ini sudah diminta bercuti. Jadi dia tidak ada apa-apa peranan dan kuasa. Dia dalam keadaan bercuti kerana cuti itu diarahkan kerana ada siasatan terhadapnya.
“Siasatan itu urusan SPRM. Kementerian belum lagi mendapat apa-apa maklumat daripada siasatan itu. Jadi selagi tidak ada apa-apa perkembangan maka selagi itulah dia dalam keadaan bercuti,” katanya.-BH Online
