Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai pemain utama Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) di rantau ini dengan sasaran pengeluaran mencecah satu juta tan setahun menjelang 2027.

Sasaran itu selari dengan hala tuju Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda penyahkarbonan sektor penerbangan.

Laporan tematik ESG oleh BIMB Securities menyatakan SAF dikenal pasti sebagai penyelesaian paling berdaya maju bagi jangka pendek hingga sederhana untuk mengurangkan pelepasan karbon industri penerbangan.

Sektor itu menyumbang kira-kira dua hingga 2.5 peratus pelepasan karbon dioksida global.

Menurut laporan berkenaan, tanpa langkah mitigasi, pelepasan karbon penerbangan antarabangsa berisiko meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang 2050, menjadikan peralihan kepada SAF semakin kritikal.

“SAF berupaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sepanjang kitaran hayat sehingga 80 peratus, bergantung kepada jenis bahan mentah dan laluan pengeluaran. Keupayaan itu menjadikannya komponen terpenting dalam strategi penyahkarbonan penerbangan global,” katanya.

Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif dari segi bekalan bahan mentah, khususnya sisa industri minyak sawit. Antara bahan mentah utama termasuk sisa buangan kilang kelapa sawit, minyak masak terpakai serta sisa biomas perladangan.

Laporan itu menyatakan manfaat sisa pertanian berkenaan bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah mewujudkan nilai tambah baharu kepada rantaian ekonomi negara, sekali gus menjadikan pendekatan itu turut menyokong naratif peralihan adil dan pengurusan sisa yang mampan.

BIMB Securities Bhd menjelaskan, SAF bersifat “drop-in”, membolehkan ia digunakan terus pada pesawat dan infrastruktur sedia ada tanpa pengubahsuaian besar.

“Faktor ini mengurangkan kos peralihan berbanding teknologi alternatif seperti hidrogen atau elektrik,” katanya.

Dalam konteks dasar, SAF dijangka menyumbang sehingga 46 peratus penjimatan pelepasan karbon sektor penerbangan Malaysia menjelang pertengahan abad ini. Ia menjadikan bahan api itu tonggak utama kepada sasaran pelepasan sifar bersih negara.

Dari segi pengeluaran, Malaysia sedang mempersiapkan kapasiti besar menjelang 2027 dengan kerajaan mengesahkan EcoCeres dan PETRONAS bakal menjadi peneraju industri SAF negara.

EcoCeres sedang membangunkan kemudahan di Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti pengeluaran sekitar 350,000 tan setahun. Kilang itu dilaporkan mula menghasilkan SAF pada Oktober 2025.

Sementara itu, PETRONAS merancang kilang penapisan bio berkapasiti sekitar 650,000 tan setahun di Pengerang, Johor. Projek itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa dan dijangka beroperasi pada fasa seterusnya.

Gabungan kedua-dua projek itu meletakkan kapasiti pengeluaran SAF Malaysia pada kira-kira satu juta tan setahun, sekali gus berpotensi menjadikan negara ini hab pengeluaran SAF serantau.

Namun, laporan itu turut menegaskan Malaysia masih kekurangan mandat penggunaan SAF.

Sasaran campuran bahan api hijau di bawah NETR bersifat aspirasi tanpa penguatkuasaan undang-undang.

Keadaan itu berbeza dengan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang sudah memperkenalkan mandat serta insentif fiskal jelas.

Ketidaktentuan dasar berisiko melambatkan penggunaan domestik, di mana tanpa kejelasan dasar, terdapat risiko kapasiti pengeluaran SAF Malaysia lebih tertumpu kepada pasaran eksport.

Situasi itu boleh mengehadkan impak penyahkarbonan sektor penerbangan tempatan.

BIMB Securities Bhd menekankan kepentingan pensijilan mampan bagi memastikan penggunaan sisa sawit tidak menimbulkan risiko reputasi. Pensijilan antarabangsa diperlukan untuk mengekalkan akses pasaran global.

Secara keseluruhan, kejayaan sasaran satu juta tan SAF menjelang 2027 bergantung kepada keseimbangan antara pengeluaran dan penggunaan domestik. Dasar yang konsisten dilihat penting bagi memastikan manfaat ekonomi dan alam sekitar dapat dimaksimumkan.

Malaysia berpotensi membuktikan bahawa sumber tradisional seperti sawit mampu menjadi pemangkin inovasi tenaga hijau. Pendekatan “daripada ladang ke penerbangan” boleh mengukuhkan kedudukan negara dalam ekonomi rendah karbon global.-BH Online