KUCHING: Pemergian ahli ekonomi dan tokoh akademik, Datuk Dr Madeline Berma disifatkan kehilangan besar dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mendiang dikenali dengan usahanya memartabatkan ilmu, memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan memperkasa masyarakat.
Katanya, beliau amat menghormati ketokohan mendiang sebagai seorang ilmuwan dan pemikir yang sentiasa menjulang nilai ilmu, membuka ruang dialog untuk pembangunan sosioekonomi serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Beliau seorang tokoh masyarakat terkenal dengan sumbangan luas dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti.
“Legasi Madeline bukan sekadar melalui penulisan dan kajian akademik, tetapi melalui dedikasi beliau dalam membimbing masyarakat, memperkasa pendidikan serta memperluas peluang pembangunan komuniti, terutama di Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada jam 11.30 pagi tadi.
Nancy berkata, sumbangan besar mendiang akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada rakyat khususnya di Sarawak.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan semoga mereka sekeluarga diberi ketabahan akan menerima kehilangan ini,” katanya.
Mendiang Madeline memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982, diikuti Ijazah Sarjana Sastera daripada University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, pada 1986, dan Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Hull, England pada 1997.
Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM hingga 2018, selain pernah memegang jawatan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dari 2011 hingga 2016.
Sepanjang kerjayanya, beliau menjalankan pelbagai kajian mengenai pembangunan ekonomi, khususnya dalam pembangunan kawasan pedalaman.
Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia, dengan penekanan khusus pada isu berkaitan pembangunan di Sarawak.
Pada 2019, mendiang dilantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), malah beliau juga Felow Akademi Sains Malaysia dan Felow Kehormat di Institut Masa Depan Malaysia.-BH Online
