Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan kebimbangan serius dan mendalam terhadap peningkatan ketegangan di Yaman susulan laporan operasi ketenteraan secara sehala serta kemaraan Majlis Peralihan Selatan di wilayah timur Hadramawt dan Al-Mahra, yang disifatkan berisiko mencetuskan ketidakstabilan baharu di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, perkembangan tersebut merupakan ancaman nyata terhadap keselamatan dan kestabilan Yaman, selain mencerminkan pelanggaran terhadap usaha damai yang sedang digerakkan oleh komuniti antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan tindakan STC telah meningkatkan tahap ketegangan secara ketara serta mengancam keadaan keselamatan yang sedia rapuh, sekali gus berpotensi menggagalkan kemajuan ke arah penyelesaian politik yang mampan.

“Malaysia juga amat bimbang dengan laporan tindakan STC telah meningkatkan ketegangan dan mengancam keadaan keselamatan yang sedia rapuh.

“Perkembangan ini berisiko mencetuskan perpecahan yang lebih parah serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang telah lama membelenggu rakyat Yaman,” menurut Wisma Putra.

Dalam pada itu, Malaysia memuji usaha berterusan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dalam membantu meredakan ketegangan serta memainkan peranan penting ke arah usaha pendamaian dan kestabilan serantau.

Malaysia turut menggesa semua pemain serantau dan antarabangsa agar bertindak secara bertanggungjawab dengan menyokong inisiatif yang menegakkan kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan Yaman, tanpa sebarang campur tangan yang boleh memburukkan keadaan di negara berkenaan.

“Malaysia mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden (Presidential Leadership Council – PLC) dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa yang diiktiraf untuk memimpin negara tersebut melalui proses peralihan dan pembinaan keamanan,” menurut kenyataan itu lagi.

Malaysia menekan, kepentingan mengkepentingan menghormati kerangka perlembagaan dan politik Yaman serta menggesa semua pihak agar kekal komited kepada dialog dan rundingan secara aman, menyelesaikan pertikaian melalui saluran politik dan mengelakkan sebarang tindakan provokatif yang boleh menggugat kestabilan negara itu.

Malaysia turut menegaskan, keamanan berkekalan di Yaman hanya dapat dicapai melalui rundingan konstruktif, pendamaian menyeluruh antara semua pihak serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, sambil menzahirkan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Yaman yang terus berdepan penderitaan dan keperluan kemanusiaan yang mendesak. — MalaysiaGazette