Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia melepasi fasa pemulihan pasca COVID-19 dan kembali mengukuhkan kedudukannya sebagai Harimau Asia, namun usaha pembaharuan mesti diteruskan secara konsisten berteraskan pelan sedia ada bagi memastikan momentum pertumbuhan kekal mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kedudukan itu dilihat sebagai refleksi dua tahun perkhidmatannya di Kementerian Kewangan (MOF), sambil menjelaskan kejayaan dicapai setakat ini bukan hasil jalan pintas, sebaliknya melalui pelaksanaan dasar yang berdisiplin dan berterusan.

Beliau berkata, ketika memulakan peranan itu pada Disember 2023, defisit fiskal negara berada pada paras 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun kini dijangka menutup 2025 pada sekitar 3.8 peratus, dengan sasaran 3.5 peratus pada 2026. 

“Ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, kadar pengangguran kekal pada paras terendah dalam tempoh sedekad sekitar tiga peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) mencatat paras rekod,” katanya dalam satu hantaran di LinkedIn.

Amir Hamzah berkata, pencapaian itu disokong pelaksanaan menyeluruh Ekonomi MADANI yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu tadbir urus berintegriti, peningkatan daya saing ekonomi dan pengukuhan jaringan perlindungan sosial.

Dari sudut tadbir urus, Amir Hamzah berkata, Akta Tanggungjawab Fiskal mewujudkan disiplin fiskal merentas kitaran politik, manakala Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan meningkatkan ketelusan penggunaan dana awam. 

Menurutnya, pelaksanaan e-Invois pula membantu memperkukuh pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil.

Bagi meningkatkan siling ekonomi negara, beliau memaklumkan bahawa kelulusan FDI sehingga September 2025 mencecah RM282.5 bilion, termasuk RM5.5 bilion pelaburan strategik dalam sektor semikonduktor menerusi inisiatif GEAR-uP, sejajar usaha memperdalam kompleksiti industri dan menghasilkan produk bernilai tinggi berjenama ‘Made by Malaysia’.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan lantai kesejahteraan rakyat, Amir Hamzah berkata kerajaan menyalurkan bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain melaksanakan kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

Beliau turut mengakui beberapa keputusan sukar terpaksa dibuat termasuk rasionalisasi subsidi elektrik, diesel dan RON95, yang memerlukan keseimbangan teliti antara penjimatan fiskal dan perlindungan golongan memerlukan.

Mengulas cabaran global, Amir Hamzah berkata, Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan geopolitik dan perang tarif, dengan pendirian berkecuali serta keterbukaan perdagangan terus menjadi kelebihan strategik negara.

Bagi 2026, beliau menegaskan tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan lebih mendalam, dengan penjajaran pelan strategik utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Kerja pembinaan negara ini digerakkan oleh ribuan penjawat awam merentas kementerian, agensi, GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang menyelesaikan masalah pelaksanaan setiap hari, bersama rakan sektor swasta. Inilah asas sebenar transformasi ekonomi,” katanya.-BH Online