Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KANGAR, 25 Disember – Mohd Shukri Ramli secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis di Kangar, petang tadi.

Mohd Shukri dalam sidang media perletakan jawatannya memaklumkan telah mempersembahkan surat peletakan jawatan itu kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari tadi.

“Saya menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai menteri besar secara sukarela atas faktor kesihatan, sepertimana yang semua tahu, keadaan yang tidak berapa mengizinkan,” katanya.

“Saya telah pun menyembah surat perletakan jawatan ni kepada Duli Yang Maha Mulia tengah hari tadi, seperti mana yang saya sebut, jadi sehubungan dengan itu saya nk mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri perlis,” tambah beliau.

Mohd Shukri berkata demikian pada sidang media yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar, Perlis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sanglang hanya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar, namun masih berkhidmat sebagai ADUN yang dimenangi beliau pada PRU lalu.

Mohd Shukri merupakan Menteri Besar ke-11 Perlis yang dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.-Berita RTM