Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 25 Disember – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 750 karton rokok putih tidak berkastam bernilai kira-kira RM320,000 dalam satu serbuan menerusi Op Taring Alpha 1 di Klang, Selangor, Rabu lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2.30 petang itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.

Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran rokok haram.

“Hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM320,000. Lelaki berusia 60 tahun bersama semua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama Cawangan Perisikan Batalion 4 PGA Semenyih bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.

Amanjit turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan masing-masing.-Berita RTM