Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa susulan penghakiman berhubung isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang diputuskan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.

“Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang dibuat hakim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar berkata, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim.

Jelasnya, ia termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.

null

“Saya menyeru semua pihak supaya menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana. 

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan Najib yang juga bekas Perdana Menteri kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO apabila Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Nee Yin didakwa ‘meraikan’ perkara berkenaan.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong, memuat naik hantaran berbunyi: ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Antaranya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang membidas kenyataan Bee Yin dan menyifatkannya sebagai biadab.

Malah, beliau menggesa supaya UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan, dengan menjadi pembangkang bermaruah daripada dihina rakan sekutu.-BH Online