KUALA LUMPUR: Sektor pertanian Malaysia menjana pendapatan RM186.4 bilion pada 2023, dengan subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar merangkumi lebih 70 peratus daripada keseluruhan pendapatan sektor itu, demikian mengikut Laporan Banci Pertanian 2024.
Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi itu mengukuhkan kedudukan pertanian sebagai antara pemacu utama ekonomi negara, bukan sahaja dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan, malah sebagai penyumbang signifikan kepada pendapatan negara, penciptaan peluang pekerjaan dan pengurangan kebergantungan terhadap import.
Katanya, laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menunjukkan subsektor tanaman menjana pendapatan sebanyak RM132.06 bilion atau 70.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan sektor pertanian, diikuti subsektor ternakan (RM33.12 bilion), perikanan tangkapan (RM11.08 bilion), perhutanan dan pembalakan (RM5.42 bilion) serta akuakultur (RM4.74 bilion).
“Dalam subsektor tanaman, kelapa sawit terus mendominasi landskap pertanian negara, mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM92.68 bilion, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tulang belakang kepada sektor pertanian Malaysia.
“Ini diikuti oleh buah-buahan (RM14.15 bilion), sayur-sayuran (RM10.90 bilion), getah (RM4.27 bilion), padi (RM3.84 bilion) dan nanas (RM2.33 bilion).
“Tiga negeri teratas mencatatkan jumlah pendapatan dalam sektor pertanian pada 2023 adalah Johor dengan nilai RM30.15 bilion, Sarawak (RM29.18 bilion) dan Sabah (RM28.22 bilion),” katanya pada pelancaran laporan berkenaan secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, dari segi struktur pegangan, lebih 97 peratus pegangan pertanian di Malaysia diusahakan secara individu, dengan sebanyak 1.01 juta pegangan direkodkan sebagai pegangan individu, berbanding 21,189 pegangan yang diuruskan oleh pertubuhan.
“Namun begitu, laporan menunjukkan majoriti pendapatan sektor pertanian dijana oleh pertubuhan dan syarikat, dengan pegangan pertanian oleh pertubuhan menyumbang RM136.05 bilion atau 73 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan sektor itu, manakala pegangan individu merekodkan RM50.38 bilion atau 27 peratus.
“Jurang ini menggambarkan perbezaan ketara dari segi skala operasi, produktiviti dan keupayaan penjanaan nilai antara petani kecil dan pertubuhan berskala besar, sekali gus menjadi input penting kepada penggubalan dasar dan intervensi bersasar bagi memperkasa petani individu,” katanya.
Mohd Uzir juga menyatakan bahawa keluasan kawasan tanaman yang dilaporkan adalah 7.5 juta hektar dengan tanaman utama adalah kelapa sawit, meliputi 5.8 juta hektar, diikuti oleh getah (700,000 hektar), padi (500,000 hektar), dan tanaman lain (100,000 hektar).
Katanya, dapatan Banci Pertanian 2024 juga merekodkan jumlah nilai jualan bagi subsektor tanaman adalah RM116.7 bilion manakala subsektor ternakan dengan RM26.9 bilion.
“Sementara itu, nilai jualan hasil perikanan tangkapan direkodkan adalah RM10.9 bilion. Banci Pertanian 2024 menunjukkan bahawa subsektor akuakultur telah menjana nilai jualan sebanyak RM4.6 bilion pada tahun 2023 dan subsektor pembalakan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya.
Banci Pertanian 2024 dilaksanakan bermula Julai hingga Oktober 2024 dengan kerjasama lebih 1,300 agensi berkaitan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, serta menyediakan data terperinci sehingga ke peringkat lokaliti kecil bagi menyokong perancangan serta pembuatan keputusan yang lebih berkesan oleh pihak berkepentingan.-BH Online
