KUANTAN: Cukai tanah antara lima penyumbang terbesar hasil utama Pahang apabila menyumbang RM403.7 juta atau 38.15 peratus daripada keseluruhan kutipan RM762.9 juta, setakat November lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan jumlah kutipan pada 2022, cukai tanah merekodkan hasil RM383.8 juta, diikuti RM381.8 juta pada 2023 dan RM396.6 juta tahun lalu.
Setakat November lalu juga, katanya, empat hasil utama lain ialah royalti dengan hasil RM81.1 juta, diikuti RM66.5 juta hasil bayaran pendaftaran dan permit.
Perolehan jualan barang (premium, air mentah dan lain-lain) merekodkan hasil RM130.3 juta dan geran daripada Kerajaan Persekutuan pula berjumlah RM81.1 juta.
“Lima hasil utama ini secara keseluruhan menjadi penyumbang terbesar dengan merekodkan kutipan berjumlah RM762.9 juta setakat November lalu,” katanya menjawab soalan Datuk Andansura Rabu (PAS-Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, cukai tanah yang masih mempunyai tunggakan setiap tahun mencecah RM483 juta pada 2022, meningkat kepada RM525.5 juta pada 2023 dan RM635.9 juta tahun lalu.
“Setakat Oktober lalu, tunggakan cukai tanah direkodkan pada RM376.1 juta. Usaha mengutip tunggakan ini bukanlah perkara mudah tetapi saya ingin mengucapkan syabas kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang kerana mampu mengurangkan tunggakan daripada RM1.1 bilion kepada lebih 50 peratus dan usaha ini akan diteruskan,” katanya.-BH Online
