KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sejumlah lima projek dengan penglibatan syarikat dari India di Malaysia bernilai RM23.85 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu dijangka mewujudkan lebih 270 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
“Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 1980 sehingga September 2025, projek perkilangan dengan penglibatan dari India yang direalisasikan setakat Jun 2025 adalah berjumlah RM4.88 bilion.
“Ia melibatkan 176 projek merentasi pelbagai industri termasuk farmaseutikal, peranti perubatan, kimia dan produk kimia, fabrikasi logam, oleokimia dan jentera dan peralatan – mewujudkan lebih 16,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari berhubung status pelaburan yang dimeterai oleh Malaysia dan India serta impak positif kepada negara terutama dalam aspek pelaburan syarikat gergasi dari India.
Chin Tong berkata, Malaysia kini dalam proses memeterai perjanjian kerjasama dengan India dalam bidang semikonduktor untuk mendalami usaha sama dalam membina rantaian nilai industri semikonduktor yang lengkap dan berdaya tahan.
Katanya, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) telah memeterai kerjasama strategik dengan Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras Global) bagi meneroka kerjasama berimpak tinggi yang dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi global.
“India sedang membangunkan industri semikonduktor secara pesat dan Malaysia sudah ada ekosistem yang sangat lengkap. Ekosistem kita boleh memberi suntikan dari segi teknologi dan kumpulan bakat kepada ekosistem India,” katanya.-Bernama
