Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Proses membawa pulang 31 rakyat Malaysia yang terkandas di sempadan Myanmar dan Thailand selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia disebabkan proses penahanan, tindakan mahkamah, denda dan tahanan sementara ke atas mereka berikutan kemasukan ke Thailand secara tidak sah. 

Mohamad berkata, perkembangan itu dimaklumkan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, selepas pegawai kedutaan mendapat maklumat daripada pegawai Imigresen Wilayah Tak dan pegawai Polis Diraja Thailand. 

Ketika ini, rakyat Malaysia berkenaan masih berada dalam kawalan Tentera Diraja Thailand di Friendship Bridge kedua di Maesot.

“Proses dokumentasi dan penapisan masih belum selesai dilaksanakan walaupun pegawai kedutaan sudah berada di sana sejak awal pagi. 

“Pada masa sama, mahkamah di Maesot hanya boleh mengendalikan 80 sebutan kes sehari dan terdapat seramai 274 orang dari China yang sedang menunggu sebutan kes. 

“Berikutan tempoh proses yang agak lama dan jumlah denda yang perlu dibayar, iaitu 4,000 bhat (RM517) setiap seorang, usaha kini sedang dibuat untuk memendekkan tempoh proses dan penahanan mereka,” katanya kepada BH, hari ini. 

Kelmarin, Mohamad memaklumkan, seramai 32 rakyat Malaysia mangsa pemerdagangan yang terkandas di sempadan Myanmar dan Thailand, selamat dibawa masuk ke Thailand oleh pasukan tentera negara itu. 

Semua mangsa membabitkan 31 lelaki dan seorang wanita itu dibantu selepas Kedutaan Besar Malaysia di Thailand memohon bantuan kemanusiaan daripada pihak berkenaan. 

Pegawai kedutaan sudah temui semua mangsa

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, pegawai kedutaan sudah menemui semua mangsa dan menyediakan makanan yang mencukupi untuk beberapa hari lagi. 

Seorang daripada mereka sudah ditahan lebih awal dan kini berada di pusat tahanan imigresen Suan Phlu untuk tujuan deportasi. 

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, proses evakuasi 21 lagi rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan yang ditahan kerajaan Myanmar berjalan dengan baik. 

“Seramai 20 mangsa kini dalam perjalanan dengan bas ke Danok, diiringi pegawai kedutaan dan dijangka sampai ke Danok pada petang esok, manakala seorang lagi terpaksa ditahan lebih lama atas sebab siasatan dan dokumentasi,” katanya.-BH Online