Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 10 Disember– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 bilion dalam bajet 2026 bagi usaha memperkukuh agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan, mengangkat tema ‘Kesejahteraan Ummah’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf menjadi fokus utama agihan tahun hadapan dengan  peruntukan RM1.157 bilion dan pemerkasaan pendidikan ummah sebanyak RM197.2 juta.

“Bajet MAIWP 2026 memberi tumpuan menyeluruh kepada usaha memperkukuh kesejahteraan asnaf melalui penyediaan keperluan asas serta pelaksanaan program pembangunan yang holistik, bagi meningkatkan taraf hidup mereka dari segi sosial dan kerohanian.”

“Pada masa sama, MAIWP turut menekankan aspek pendidikan anak-anak asnaf, bermula dari peringkat awal sehingga ke menara gading, bagi memastikan mereka berpeluang mencapai potensi terbaik dan menjadi ejen perubahan positif kepada keluarga masing-masing,” kata Datuk Dr. Mohd Na’im kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, ia selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 serta Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Al-Falah yang menekankan tadbir urus berkesan, kesejahteraan insan dan pengukuhan institusi Islam.

MAIWP mengunjurkan pendapatan RM1.7 bilion, meningkat sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya RM1.5 bilion, dengan Kumpulan Wang Zakat sebagai penyumbang terbesar.

Sebahagian besar peruntukan tahun hadapan disalurkan terus kepada asnaf, melibatkan RM1.354 bilion bagi perbelanjaan agihan, perbelanjaan mengurus RM250.7 juta dan pembangunan RM73.65 juta.

Sehingga November lalu, jumlah agihan MAIWP menunjukkan peningkatan ketara, termasuk jumlah agihan sebanyak RM1.041 bilion yang melibatkan lebih 165,000 penerima melalui 38 skim bantuan selain berjaya mengekalkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran selama 18 tahun berturut-turut.

MAIWP komited untuk terus membantu masyarakat menangani cabaran ekonomi semasa, termasuk kos sara hidup yang meningkat terutama di kawasan bandar.

MAIWP menyasarkan kutipan zakat ditetapkan sebanyak RM1.37 bilion, disokong hasil sewaan, yuran pengajian, pelaburan dan geran Kementerian Kewangan.-Berita RTM