Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Pendidikan (KPM) terus mengekalkan iltizam untuk memastikan pendidikan berkualiti untuk semua anak bangsa tanpa mengira aliran sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pendekatan kerajaan kini dalam pemantauan sekolah vernakular tidak lagi memisahkan tanggungjawab Menteri dan Timbalannya berdasarkan kaum, sebaliknya semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dipantau secara bersama oleh Kementerian Pendidikan.

“Tradisi sebelum ini menempatkan Timbalan Menteri khusus menjaga sekolah India, sekolah Tamil dan sekolah Cina. Namun, dalam Kerajaan MADANI, kita menjaga semua sekolah bersama-sama. Fokus utama kita adalah memastikan pendidikan berkualiti untuk semua anak bangsa,”

Beliau menyatakannya semasa merasmikan Majlis Peluncuran dan Penyerahan Peralatan ICT (Smartboard) di SJKT Vivekananda, Brickfields, di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, Kementerian Pendidikan akan terus mempertahankan pengiktirafan sekolah vernakular berdasarkan Akta Pendidikan, serta memastikan isu pendidikan diselesaikan dengan tuntas demi keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menutup mana-mana SJKT, walaupun terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat yang mendakwa sebaliknya.

“Sekolah vernakular ini pengiktirafannya adalah di bawah Akta Pendidikan dan Timbalan Menteri kami mempertahankan sekolah-sekolah tersebut kerana ia telah pun disebut dalam akta tersebut. Saya ingin memberi jaminan, di hadapan Datuk Seri Ramanan dan tuan-puan semua, bahawa kerajaan tidak akan menutup mana-mana SJKT,” tegas beliau. 

Majlis itu turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan yang menyaksikan penyerahan simbolik papan pintar kepada wakil-wakil sekolah SJKT yang hadir.-Berita RTM