KUALA LUMPUR, 9 Disember – Bursa Malaysia berupaya melepasi sasaran penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) yang ditetapkan tahun ini, berbanding 55 yang dicatatkan tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat ini 58 syarikat telah disenaraikan menghampiri unjuran 60 IPO, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap pasaran tempatan.
“Dari segi jumlah dana yang dikumpulkan, kita menjangkakan ia menghampiri RM30 bilion dalam peningkatan permodalan pasaran. Namun, untuk bergerak ke hadapan, fokus Bursa bukan hanya kepada angka, tetapi juga kepada skala.
“Kita mahu melihat lebih banyak syarikat bersaiz besar memasuki pasaran, mengukuhkan papan utama sebagai sasaran utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenaraian ORKIM Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di ibu negara hari ini.
Penyenaraian itu mencerminkan keberkesanan inisiatif Gerakan Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-Up) serta Bumiputera Relay Race, yang mengekalkan pemilikan korporat Bumiputera secara berstruktur dan lestari.
Sementara itu, syarikat pengangkutan marin bumiputera, ORKIM Berhad memulakan dagangannya pada 92 sen, tidak berubah daripada harga IPO.
Menerusi terbitan 100 juta saham baharu, Orkim meraih RM92 juta, dengan sejumlah RM80 juta akan dibelanjakan bagi pembelian dua kapal tangki kimia dan produk petroleum baharu di bawah program peluasan dan pemodenan armadanya.
Sebanyak RM1.15 juta lagi diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala baki RM10.85 juta akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.-Berita RTM
