Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha kedua-dua negara melaksanakan gencatan senjata ke arah langkah perdamaian.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan protes yang diadakan rakyat Thailand, yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam konflik itu, baru-baru ini dianjurkan parti pembangkang sebagai modal untuk mereka berdepan pilihan raya di negara itu tidak lama lagi.

“Untuk mengatakan Malaysia, khususnya Perdana Menteri campur tangan itu adalah satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan. 

“Sejak dulu lagi, kita menjunjung semangat ASEAN, iaitu tidak ada campur tangan dalam hal ehwal negara ahli dalam ASEAN.

“Protes itu dijadikan modal oleh parti pembangkang yang kecil jumlahnya. Jadi jangan pula kita di Malaysia terikut-ikut, kurang orang, kita pula yang lebih mengatakan Perdana Menteri kita campur tangan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai pendirian Malaysia susulan protes di Bangkok berkaitan dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasinya terhadap imej Malaysia.

Ahad lalu, Anwar menolak dakwaan oleh kumpulan di Thailand bahawa beliau mencampuri urusan mereka dengan cuba menyelesaikan pertikaian sempadan negara itu dengan Kemboja.

Beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak berasas dan mereka yang mengutuk beliau seharusnya memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara sebelum mengeluarkan kenyataan terburu-buru.

Anwar turut memaklumkan, rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul turut menegaskan bahawa kritikan kumpulan Thailand itu adalah tidak adil.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, pada Jun lalu, Perdana Menteri menghubungi rakan sejawatnya ketika itu, Paetongtarn Shinawatra dan kedua-duanya menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat berkecuali untuk mereka berunding.

Mohamad berkata, ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Julai lalu, beliau mempertemukan kedua-dua Menteri Luar Thailand dan Kemboja supaya dapat duduk semeja serta berunding menyelesaikan konflik itu.

“Kita selalu melaungkan bahawa rantau ASEAN ini aman, sejahtera, bebas dan berkecuali tetapi apa rupanya jika kedua-dua buah negara ini bertelagah berkenaan sempadan,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan, sekumpulan individu yang mengibarkan bendera kebangsaan Thailand dan sepanduk tiba di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan menuduh Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, mencampuri usaha Thailand untuk menjaga kedaulatannya.

Mereka menuntut beliau tidak memberi tekanan kepada Thailand untuk berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Kumpulan itu mengkritik Anwar atas dakwaan ‘campur tangan politik’ dan mendakwa Malaysia serta Amerika Syarikat (AS) cuba memberi pengaruh yang tidak wajar terhadap keputusan Thailand.-BH Online