Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan telah meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mengemukakan pelan hala tuju pembangunan grid untuk integrasi tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih tinggi sebagai panduan teknikal dalam peningkatan serta menambah baik pelaksanaan dasar dan inisiatif tenaga lestari.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata aspek itu perlu mengambil kira pengembangan kenderaan elektrik dan pusat data, integrasi kuasa rentas sempadan dan penggunaan projek TBB yang lebih meluas, termasuk sepertimana yang diumumkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya dimaklumkan bahawa prestasi sistem grid semasa TNB adalah setanding dengan negara-negara maju iaitu dengan 0.18 Minit Sistem dan SAIDI (Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem) selama 45.06 minit.

“Bagi memastikan kita terus kekal maju, penambahbaikan selanjutnya terhadap sistem grid bagi kemudahan peralihan tenaga yang disasarkan, adalah wajar,” katanya dalam ucapan pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran TNB di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan langkah penting dalam usaha meningkatkan dasar serta struktur kawal selia di samping memupuk ekosistem komprehensif untuk mempercepat aspek peralihan tenaga tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha transformasi penting pengeluaran dan penggunaan tenaga tersebut adalah sesuatu yang masih diperlukan.

“Ini melibatkan pelaburan besar dalam pembangunan, pengukuhan serta pemodenan grid tersebut. Malah, dianggarkan RM180 bilion diperlukan sehingga 2050 untuk menampung usaha membangunkan grid yang kukuh serta fleksibel ini,” katanya.