ADDIS ABABA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sudah tiba masanya bagi syarikat, pelabur dan peneraju inovasi di Ethiopia untuk memulakan operasi di Malaysia.
Perdana Menteri berkata ia mengambil kira banyak peluang yang terhidang untuk kedua-dua pihak menerokai kerjasama yang saling menguntungkan.
“Ia bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di blok ASEAN yang dinamik dan meriah serta di seluruh rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
“Biarkan Malaysia menjadi jambatan yang menghubungkan potensi dan kepelbagaian dinamik bagi kedua-dua rantau kita,” katanya dalam ucapan pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia di sini.
Turut hadir Presiden Ethiopia, Taye Atske-Selassie dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Lebih 80 pemimpin perniagaan dari Malaysia dan wakil daripada 54 syarikat Ethiopia menghadiri forum berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis.
Tambah Anwar lagi, kehadiran besar komuniti perniagaan Ethiopia, pelabur serantau dan peneraju industri Malaysia mencerminkan potensi kerjasama lebih besar dan lebih berani antara kedua-dua negara.
“Ini adalah lawatan rasmi pertama saya ke Ethiopia dan saya hadir bersama menteri perdagangan dan pelaburan, serta pegawai kanan dan delegasi perniagaan.
“Tidak perlu ada keraguan tentang komitmen Malaysia untuk membuka laluan baharu bagi perdagangan, pelaburan dan kemakmuran bersama, baik dengan Ethiopia mahupun Afrika secara keseluruhannya,” katanya.
Anwar berkata semua negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada rakan tradisional, lantas kerjasama baharu diperlukan untuk berdepan perubahan yang kompleks tercetus akibat ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan cabaran berkaitan iklim.
Beliau berkata sudah tiba masa bagi semua negara untuk berdiri bersama dalam mengekalkan kestabilan, menggalakkan pasaran terbuka dan mengejar pertumbuhan inklusif serta lestari.
“Inilah sebabnya forum hari ini sangat tepat pada masanya. Ethiopia,dan Afrika secara keseluruhan, bukan sekadar rakan untuk Malaysia atau Asia Tenggara, tetapi rakan strategik dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas.
“Penglibatan ekonomi Malaysia dengan Afrika telah berkembang secara konsisten sepanjang tahun, daripada infrastruktur telekomunikasi kepada perkhidmatan penerbangan, pendidikan, pertanian dan tenaga.
“Reformasi Ethiopia, aspirasi logistiknya dan tenaga kerja muda serta dinamiknya menyediakan asas kukuh untuk kerjasama lebih mendalam,” katanya.
Anwar turut menekankan potensi sebenar dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, agroindustri, pembangunan infrastruktur dan kewangan Islam.
Beliau juga menegaskan beberapa syarikat Malaysia sudah pun menyatakan minat untuk meneroka Ethiopia sebagai hab strategik bagi Afrika Timur.-BH Online
