Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan membantu pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang kini berdepan masalah kecederaan berpanjangan sehingga menjejaskan penyertaannya dalam beberapa kejohanan utama.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam memastikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu kembali pulih dan beraksi pada tahap terbaik.

“Untuk ISN, kami sentiasa bersedia membantu Zii Jia jika dia memerlukan apa-apa bantuan dan kami bersedia untuk membantunya,” kata Hannah kepada media selepas pengumuman penajaan Skechers x Team Malaysia, Sukan SEA ke-33, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Zii Jia mengesahkan menutup tirai kalendar 2025 dan tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan sehingga hujung tahun ini selepas bergelut dengan kecederaan berpanjangan.

Walaupun berdepan musim yang sukar, Zii Jia kekal positif dan mensasarkan untuk kembali ke gelanggang pada Januari tahun depan.

Perkembangan itu sekali gus memberi bayangan bahawa pemain berusia 27 tahun itu mungkin melakukan kemunculan semula pada Terbuka Malaysia dari 6 hingga 11 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Hannah turut berharap pemain berusia 27 tahun itu kembali pulih sepenuhnya dan bakal kembali ke gelanggang secepat mungkin. 

“Saya berharap Zii Jia dapat pulih sepanjang musim cuti ini. Sangat penting untuk dia kembali dengan segar tahun hadapan. Kita tahu jadual badminton sangat padat.

“Jika ada kecederaan, jika mereka melalui detik sukar dan tidak pulih dengan sempurna, mereka akhirnya boleh mengalami keletihan melampau.

“Sebab itu kita mahu memastikan Zii Jia menggunakan masa ini untuk mencari ketenangan dan kembali tahun depan dengan semangat serta tujuan baharu untuk kejohanan yang akan datang,” katanya.-BH Online