KUALA LUMPUR: Malaysia menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, membuktikan daya tahan negara dalam persekitaran global yang bergolak.
Pencapaian kukuh ini dicatatkan pada ketika ketegangan geopolitik dan perdagangan, gangguan rantaian bekalan, serta keadaan monetari yang lebih ketat menjejaskan aliran pelaburan di kebanyakan pasaran lain, sekali gus menonjolkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 4,874 projek yang diluluskan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.
Menurutnya, kelulusan ini dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu, menggambarkan skala dan kepelbagaian sektor minat pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
Ia berkata, pelaburan asing (FI) melonjak 47.5 peratus tahun ke tahun, dengan peningkatan dalam ketiga-tiga sektor iaitu perkhidmatan (122 peratus), pembuatan (9.2 peratus) dan industri primer (56.6 peratus).
“Prestasi kukuh ini mencerminkan asas daya saing Malaysia dan pembangunan kluster industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Ia juga menunjukkan kejayaan kerajaan memupuk kerjasama awam-swasta dan meletakkan negara sebagai hab serantau bagi pembuatan berteknologi tinggi dan industri mampan,” katanya.
Bagi pelaburan diluluskan berpunca daripada sumber asing, Singapura menyumbang bahagian terbesar FI sebanyak RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion), Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).
Komposisi ini mencerminkan kedudukan strategik Malaysia di antara ekonomi besar, peranannya dalam usaha kepelbagaian rantaian bekalan, serta pengukuhan integrasi pasaran dalam ASEAN.
Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi (RM91.1 bilion), diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion).
Dominasi Johor sebahagian besarnya disumbangkan oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan lokasinya yang berdekatan dengan salah satu ekonomi paling maju di Asia.
Dua negeri di bawah wilayah Koridor Tengah, Selangor dan Kuala Lumpur, terus mendapat manfaat daripada infrastruktur mantap serta peranan mereka sebagai pusat komersial dan kewangan negara.
Kekuatan Pulau Pinang pula terletak pada ekosistem elektroniknya yang matang, manakala Kedah sedang muncul sebagai penerima manfaat inisiatif pembangunan koridor utara.
Sektor tumpuan di bawah kerangka Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) menarik RM137.9 bilion, bersamaan 48.4 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.
Sebanyak 676 projek ini dijangka mewujudkan 49,488 pekerjaan, menunjukkan penjajaran antara strategi pelaburan dan objektif pembangunan negara.
Projek di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MIDA menyumbang RM159.1 bilion atau 55.8 peratus.
Ini termasuk 1,838 projek yang diunjurkan mewujudkan 75,068 pekerjaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan prestasi ini sebagai bukti bahawa strategi ekonomi Malaysia sedang membuahkan hasil.
“RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan adalah luar biasa dari apa jua ukuran. Ketika aliran modal global merosot di tempat lain, Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti pada skala besar.
“Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan visi ekonomi kita. Apabila pelabur global melihat Asia Tenggara, mereka semakin memilih Malaysia. Kita bukan sahaja bersaing dalam ASEAN, kita sedang menetapkan penanda aras.
“Pelaksanaan berfokus terhadap misi utama di bawah NIMP 2030 menarik pelaburan sambil menyediakan pekerjaan dan peluang peningkatan kemahiran bagi menggerakkan peralihan kita ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan pengetahuan,” katanya.
Antara 2021 hingga September 2025, Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan meluluskan 4,378 projek pembuatan.
Daripada jumlah ini, 85 peratus atau 3,724 projek telah dilaksanakan, termasuk pengeluaran berskala penuh, pembinaan kilang dan pemasangan mesin.
Sementara itu, 12 peratus masih dalam fasa perancangan, menumpukan kepada aktiviti kritikal seperti pemilihan tapak dan rundingan dengan pemaju, manakala hanya tiga peratus projek tidak dilaksanakan disebabkan perubahan arah komersial oleh pelabur.-BH Online
