PENAMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan teknikal rasmi mengenai Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah, Isnin ini di Kota Kinabalu.
Perdana Menteri berkata mesyuarat itu akan dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi menyelesaikan perkara teknikal yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selaras keputusan Jemaah Menteri.
“Jemaah menteri bincang beberapa kali kita putuskan setuju hari Isnin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan akan turun ke Kota Kinabalu. Kita akan bincang isu-isu teknikal 40 peratus dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Bila? Hari Isnin, dua hari lagi.
“We are serious. Ada pula peguam-peguam bising soal appeal sedangkan kita tak pernah rayu sebab 40 peratus. Saya nak tegaskan, selaku Perdana Menteri mewakili Jemaah Menteri dan kerajaan, kita tidak rayu kerana 40 peratus – itu hak Sabah. Apa lagi yang mahu dipolitikkan? Nak pilihan raya, silakan. Nak kempen, kempenlah. Tapi jangan pusing fakta macam dulu waktu kamu berkuasa, kamu pun tak selesai isu ini,” katanya.
Anwar berkata demikian berucap pada Program Temu Anwar Harapan Urang Muda Sabah di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Rayuan hanya terhadap alasan penghakiman
Beliau menjelaskan perincian rayuan kerajaan yang menimbulkan kekeliruan kebelakangan ini, sambil menegaskan ia bukan terhadap hak 40 peratus tetapi terhadap alasan penghakiman yang boleh dianggap mengecilkan jasa pentadbiran terdahulu sejak 1974.
“Yang kita rayu bukan hak 40 peratus itu. Yang kita rayu hanyalah bahagian penghakiman yang menyatakan kerajaan-kerajaan sejak 1974 melanggar prinsip perlembagaan unconstitutional. Saya tak mahu jadi Perdana Menteri yang menghina Perdana Menteri dahulu, sebab itu saya minta Peguam Negara rayu untuk betulkan bahagian itu sahaja.”
Anwar turut menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan isu fiskal Sabah dengan penuh hormat terhadap sejarah politik negara, serta tidak mahu isu itu dijadikan modal kempen sehingga menjejaskan perpaduan.
“Kita sudah jelaskan soal 40% itu hak Sabah dan kita tidak rayu. Kita hanya betulkan perkara teknikal dalam penghakiman. Tak perlulah kita hina pemimpin lama yang juga punya jasa besar. Fokus kita ialah selesaikan hak Sabah secara tertib dan adil.” katanya.-BH Online
