Setiap hari, lepas kerja atau sambil tunggu anak habis sekolah, ramai antara kita habiskan masa menatap telefon. Lalu depan mata, iklan kursus merata: kursus data dan ‘cloud’, sijil keselamatan tempat kerja, sampai ke latihan baiki kereta elektrik. Dalam hati terlintas, “Eh, ni kalau boleh belajar, senang ikut zaman kerja sekarang.”
Tapi bila klik tengok yuran, terus tutup balik. Dengan sewa rumah, minyak kereta, bayar pinjaman, belanja dapur — kursus moden yang nampak menarik tadi terus masuk kategori ‘nanti dulu’. Ramai akhirnya belajar sendiri sikit-sikit di YouTube, tapi sijil profesional dan lesen industri yang majikan cari masih belum mampu nak ambil.
Pindaan Akta PTPK yang dibentang di Parlimen pada 10 November datang tepat dalam situasi macam ini. Skim yang dulu lebih fokus pada laluan TVET biasa, kini diperluas untuk meliputi lebih banyak kursus profesional moden dan lesen industri yang relevan dengan dunia kerja hari ini.
Maknanya, kalau selama ini kita hanya mampu ‘tengok iklan saja’, kini ada peluang lebih jelas untuk mohon pembiayaan dan betulbetul masuk kelas, bukan sekadar untuk mereka yang berpoket tebal, tetapi untuk orang biasa yang mahu tambah kemahiran ikut tuntutan zaman.
Apakah PTPK?
• Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ialah skim pinjaman latihan kemahiran untuk rakyat. Selama ini pembiayaan kewangan hanya tertumpu pada Sijil/Diploma Kemahiran Malaysia di bawah JPK.
• Melalui RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025, skop pembiayaan akan diperluaskan: Sijil profesional dan kompetensi industri (contoh: Microsoft/Cisco/AWS untuk digital; OSH untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Latihan perlesenan kerja (contoh: Suruhanjaya Tenaga – pendawai/chargeman; American Welding Society (AWS) – kimpalan), Kursus kemahiran pendek yang diiktiraf industri dan diperlukan majikan.
• Maksudnya, selain laluan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), laluan profesional/lesen industri pun boleh mohon bantuan kewangan PTPK.
Apakah yang berubah?
• Skop pinjaman lebih luas: Bukan sekadar SKM sahaja; sijil kemahiran dari badan profesional/ lesen pun layak.
• Proses lebih pantas dan digital: Kelulusan tidak perlu tunggu lama. Lebih cepat dan lebih mudah.
• Tadbir urus dan penguatkuasaan diperkukuh: Jaga integriti dana, pastikan pinjaman sampai kepada kursus yang relevan dan berkualiti.
• Contoh kursus/lesen yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran adalah;
– Digital/Teknologi Maklumat: Microsoft Certified, Cisco CCNA, AWS Cloud Practitioner.
– Tenaga/Elektrikal: Pendawai/Chargeman (ST), Penyelenggaraan elektrik bangunan dan industri.
– Keselamatan dan Kesihatan (OSH): Pegawai OSH, SHO modules, ISO-related compliance.
– Pembuatan/Minyak & Gas: Kimpalan (AWS), NDT asas, penyelenggaraan mesin.
– Servis teknikal: HVAC asas, automotif EV asas, automasi/PLC tahap asas.
Tip: Pilih kursus yang diiktiraf industri, ada kebolehpasaran tinggi dan jelas laluan kerjaya
Pada 10 November lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong sudah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] di Parlimen bagi Bacaan Pertama.
Bagaimanakah hendak mula?
• Tentukan kemahiran sasaran. Tengok iklan kerja dan kenal pasti sijil/lesen yang majikan minta. -Semak pusat latihan. Pilih penyedia yang bona fide dan diiktiraf (JPK/profesional/lesen).
• Mohon pinjaman PTPK. Sediakan dokumen asas (Kad pengenalan, slip gaji/penyata, tawaran kursus).
• Belajar dan siapkan persijilan. Fokus lulus, kumpul portfolio asas.
•Cari kerja/naik gaji. Kemas kini CV, mohon jawatan yang selari dengan kelayakan baharu.
Tidak semua orang ada laluan akademik yang lurus. Ramai sebenarnya memiliki bakat dan potensi besar, namun terhalang oleh kekangan kos serta peluang.
Dengan peluasan peranan PTPK melalui pindaan terbaharu ini, landskap pembelajaran menjadi lebih adil dan inklusif.
Kini, sesiapa yang rajin dan sanggup berusaha meningkatkan diri mempunyai ruang untuk melangkah lebih jauh.
Akhirnya, keputusan tetap di tangan kita. Pilih kemahiran yang tepat, ambil langkah pertama, dan bina haluan kerjaya yang lebih bernilai untuk masa depan.
Tip: Pilih kursus yang diiktiraf industri, ada kebolehpasaran tinggi dan jelas laluan kerjaya
Pada 10 November lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong sudah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] di Parlimen bagi Bacaan Pertama.-BH Online
