Mulai tahun hadapan Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (TDAP) kepada semua ibu hamil di Malaysia.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, usaha ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil untuk mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.
Pertussis ialah jangkitan saluran pernafasan yang akan menyebabkan batuk teruk.
“Pemberian vaksin TDAP kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa bayi yang berumur di bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi kerana boleh mengalami komplikasi penyakit seperti pneumonia,radang otak dan kematian.
“Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan,” jelas Dr Zaliha.
Untuk tahun ini sahaja, setakat 23 Ogos, sebanyak 343 kes pertussis direkodkan dengan 24 kematian.
“Daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan itu, sebanyak 24 kematian dicatatkan dengan 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan,” katanya.