Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM1.4 juta bagi bantuan tiket penerbangan kepada mahasiswa anak negeri ini yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan Johor 2026.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan turut meliputi perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa anak Johor di IPT awam di Semenanjung pada musim perayaan utama bagi meringankan beban kos perjalanan untuk pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata, bantuan itu mencerminkan kasih dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak Johor yang menimba ilmu jauh dari keluarga, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

“Teras yang keenam atau terakhir dalam Belanjawan Johor 2026 ialah Orang Muda Johor yang mana sebanyak 55 inisiatif akan dilaksanakan. Inisiatif ke-11 adalah bantuan tiket penerbangan bagi mahasiswa IPTA di Sabah dan Sarawak serta bas percuma bagi mahasiswa IPTA di Semenanjung sempena musim perayaan dengan peruntukan RM 1.4 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, langkah itu bagi menzahirkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi muda Johor yang berilmu, berwawasan serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri, selain memastikan tiada anak negeri ini yang tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan di bawah Belanjawan Johor 2026 menjadikan negeri ini peneraju dalam pembangunan modal insan serta pemangkin masa depan generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM200,000 diperuntukkan kerajaan negeri buat pengamal media di negeri ini yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ) dengan setiap seorang bakal menerima RM1,000 di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang akan disalurkan menerusi dua fasa, iaitu pada Disember dan Februari 2026.

“Sebanyak 67 inisiatif akan dilaksanakan di bawah teras ketiga menerusi belanjawan ini iaitu teras jaringan keselamatan sosial. Inisiatif ke-21 adalah BKJ pengamal media yang mana setiap seorang bakal menerima RM1,000 dengan peruntukan mencecah RM200,000,” katanya.

Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak dalam satu kenyataan, berkata insentif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai isu semasa serta pembangunan negeri, selain memperkukuh hubungan komunikasi antara rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri.

“KMJ amat menghargai pengiktirafan diberikan kerajaan negeri terhadap pengamal media yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab menyebar maklumat sahih dan beretika. Insentif khas ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada rakan-rakan media untuk terus menyalurkan berita berkaitan negeri, malah mencerminkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media di Johor.

“Ini bukan kali pertama kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar menzahirkan keprihatinan terhadap pengamal media di Johor melalui pelbagai bentuk sokongan dan peruntukan. 

Insentif khas ini menjadikan Johor negeri pertama mengumumkan peruntukan kepada pengamal media dalam belanjawan negeri. KMJ akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh peranan media sebagai rakan strategik pembangunan Johor, seiring dengan agenda Maju Johor,” katanya.-BH Online