SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan kejadian bot membawa pendatang tanpa izin (PATI) yang karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand beberapa hari lalu pada Mesyuarat Kabinet esok.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta beliau membentangkan laporan awal susulan kejadian yang setakat semalam disahkan meragut 25 nyawa.
Beliau berkata, negara menjadi tumpuan termasuk media antarabangsa susulan kejadian pada 6 November lalu, membabitkan kira-kira 300 penumpang imigran karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
“Itu satu tragedi yang saya kena bentangkan esok, laporan awal kepada Jemaah Menteri.
“Saya diminta Perdana Menteri untuk sampaikan kerana ia membabitkan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan segala macam.
“Kita kena tengok semua kemungkinan. Langkawi adalah destinasi popular,” katanya ketika merasmikan Dialog Khas PDRM IV 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Dalam pada itu, Safuddin berkata operasi carilamat yang dijalankan 177 kekuatan anggota membabitkan pelbagai agensi itu turut menggunakan teknologi radar.
Tambah beliau, kira-kira 2,300 pendaratan PATI direkodkan di Langkawi sejak 2010 termasuk membabitkan kematian.
Pada masa sama, beliau berkata pendaratan yang berakhir dengan kematian sukar diuruskan di pulau peranginan itu kerana Hospital Sultanah Malia tidak mempunyai keupayaan untuk menjalankan prosedur bedah siasat.
“Terpaksa bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (di Alor Setar) untuk bedah siasat dan sebagainya,” katanya.-BH Online
