Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan pelaksanaan Program Ujian Kecergasan Nasional Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai mekanisme rasmi saringan kecergasan bagi calon OKU yang memohon berkhidmat dalam sektor awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil 2/2025 yang dipengerusikannya hari ini.

“Pembangunan Ujian Kecergasan Nasional OKU ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan standard dalam menilai tahap kecergasan calon OKU secara lebih sistematik dan inklusif.

“Malah, ia turut memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap prinsip kesamarataan peluang dan pembangunan insan tanpa diskriminasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Orang Asli.

Jelasnya, ia akan berfungsi sebagai platform mencungkil bakat baharu dan menyediakan kemudahan latihan bertaraf tinggi kepada komuniti Orang Asli membabitkan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pengiktirafan juga diberi kepada SMK Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Kuala Lipis, Pahang sebagai pusat kecemerlangan sukan Orang Asli dan dilihat berpotensi untuk melahirkan atlet Orang Asli berdaya saing di peringkat tertinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat memberi tumpuan kepada beberapa agenda penting, termasuk status persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA dan Sukan Para 2025.

“Penekanan turut diberikan terhadap prestasi atlet dan strategi memperkukuh daya saing dan pencapaian pingat dalam acara sukan serantau dan antarabangsa. 

“Bagi memperkukuh aspek mental dan motivasi, atlet kontinjen ini juga akan mengikuti kursus bersama Akademi Kenegaraan Malaysia sebagai persediaan membina semangat juang dan keyakinan untuk menang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menaja tiket kepada pelajar sekolah dan golongan OKU bagi menyaksikan kejohanan MotoGP di Sepang pada tahun depan.

“Saya juga mencadangkan supaya kejohanan ini dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai salah satu tarikan utama pelancongan sukan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai perkembangan positif dalam pelbagai disiplin sukan negara, termasuk e-sukan dan badminton, yang masing-masing mencatat prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa. 

Katanya, kejayaan pasukan negara dalam beberapa kejohanan dunia serta kemenangan wakil Malaysia sebagai juara dunia 2025 dalam sukan badminton membuktikan bahawa perancangan sistematik dan sokongan berterusan kerajaan terus membuahkan hasil yang membanggakan negara.

“Justeru, saya menyeru semua pihak terus memperkukuh kerjasama dan memberi sokongan padu terhadap agenda pembangunan sukan nasional yang diterajui oleh Kerajaan MADANI,” katanya.-BH Online