KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengarahkan agensi penguatkuasaan terus mengambil tindakan tegas terhadap kartel, sindiket penyeludupan dan scammer yang dikenal pasti beroperasi puluhan tahun dan tidak pernah ‘disentuh’ sebelum ini.
Mendedahkan perkara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ada sindiket yang kegiatannya diketahui tetapi tiada keberanian untuk diambil tindakan kerana mereka terlalu kuat, didalangi individu berpengaruh dan memiliki dana yang besar.
“Tak mudah bertempur dengan syarikat besar dan kartel berpengaruh bukan saja di Malaysia tapi di rantau ini. Ia memerlukan dukungan dan tekad politik yang tegas. Sebab itu dari akhir tahun 2023 hingga 2025 kita dapat elakkan daripada ketirisan, rasuah dan penyeludupan.
“Bayangkan RM15.5 bilion itu (nilai rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara), ketirisan berlaku begitu banyak, kita di sini riuh rendah tapi kita izinkan (kegiatan haram ini berlaku).
“Ini bukan berlaku tahun ini, bukan dalam tempoh tiga atau lima tahun lalu, ada syarikat (haram) yang beroperasi 20 tahun dan dibiarkan. Bila kita sebut dikatakan ini dendam, tidak. Ada bukti kita ambil tindakan.
“Sebab itu saya minta semua agensi penguatkuasaan tidak bekerja secara silo, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) gabungkan dan kongsi maklumat, ambil tindakan tegas tanpa kira pengaruh dan kedudukan sama ada kartel besar, termasuk syarikat scammer yang beroperasi puluhan tahun, diketahui tapi tak berani diambil tindakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperoleh semua agensi penguat kuasa serta langkah diambil dalam memperkukuh usaha membanteras ketirisan hasil negara.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memperincikan nilai rampasan dan penalti terkini diperoleh agensi penguatkuasaan terbabit.
“SPRM mengumpul jumlah nilai lucut berjumlah lebih RM8 bilion, ia balik kepada kerajaan dan dimasukkan ke tabung Kementerian Kewangan, ini tak termasuk harta milik, itu ambil masa untuk (proses) lelong dan sebagainya.
“Tahniah juga kepada PDRM kerana peroleh nilai rampasan hasil penyitaan hampir RM4 bilion, Kastam Diraja Malaysia pula berjaya menumpaskan sindiket haram dan penyeludupan dengan nilai rampasan RM2.5 bilion.
“KPDN bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula melakukan kutipan penalti RM1 bilion,” katanya.
Tambah Anwar, angka rampasan diperoleh Kerajaan MADANI bukan satu angka kecil dan ia membuktikan tekad untuk memerangi habis-habisan rasuah, sindiket dan penyeludupan yang berleluasa sejak puluhan tahun di negara ini.
“Yang Berhormat di sini perlu tahu kenapa perkara ini diizinkan berlaku selama puluhan tahun dan apa bezanaya dengan Kerajaan MADANI? Kita ambil tindakan yang tegas, saya sendiri tabik kepada agensi penguatkuasaan yang ambil tanggungjawab dengan berani dan tegas, kita harus beri pengiktirafan kepada mereka.
“Saya tanya kenapa (kerajaan terdahulu) tak boleh buat, RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun bukan angka kecil. Umpamanya yang masuk seperti sisa elektrik dan elektronik (e-waste), ada pihak masih menyeludup bertahun-tahun. Kalau jarum yang diseludup, ya susah sedikit (nak kesan) tapi ini kontena boleh diseludup keluar dan masuk, ini bukan baru tapi berpuluh tahun dan diizinkan oleh pihak tertentu,” katanya.-BH Online
