Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA SELANGOR: Pembukaan Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (LATAR) bakal membawa manfaat besar kepada sosioekonomi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pembukaan persimpangan itu menawarkan aksesibiliti lebih meluas kepada pengguna dari Eco Business Park V dan Eco Grandeur untuk ke rangkaian lebuh raya, antaranya Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Damansara–Shah Alam (DASH).

“Selain itu, ia akan membuka peluang baharu kepada masyarakat di sepanjang koridor pantai barat ini. Saya dimaklumkan ramai pelabur dari luar negara telah membuka perniagaan mereka di Eco Bussiness Park V. 

“Pastinya, (kawasan itu) lebih mudah diakses dan menjadikannya destinasi lebih menarik untuk pelabur datang ke sini serta merangsang sektor perindustrian secara lebih meluas,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di LATAR di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah. 

Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur terletak di Kilometer (KM) 7.50 antara Persimpangan Bertingkat Ijok dan Persimpangan Bertingkat Puncak Alam, Lebuhraya LATAR yang dilaksanakan oleh EcoWorld bagi mewujudkan akses baharu kepada pembangunan bercampur di Eco Business Park V dan Eco Grandeur, Mukim Ijok, Kuala Selangor. 

Nanta berkata jajaran baharu itu dapat menyuraikan trafik sedia ada yang sesak sekian lama terutamanya di sepanjang Jalan Meru Tambahan dan Persiaran Mokthar Dahari. 

Dalam pada itu, Amirudin dalam ucapannya berkata pembukaan persimpangan bertingkat itu akan menjadi pintu masuk dalam memakmurkan ekonomi di Anjung Utara Selangor. 

Dengan laluan sejauh 3.07 kilometer, beliau berkata ia akan menjadi kesinambungan kepada jajaran baharu khususnya di Ijok dan Kuala Selangor. – BERNAMA