Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini, bagi bacaan kali pertama.

Menterinya, Steven Sim berkata pindaan itu adalah langkah penting bagi memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara selain memastikan tenaga kerja tempatan sedia menghadapi cabaran ekonomi berteraskan kemahiran dan teknologi masa depan.

Katanya, ia juga bagi membolehkan penyelarasan perundangan lebih seragam dan efisien dapat dilaksanakan dengan langkah itu membolehkan Perbadanan Tabung Pembangunan

Kemahiran (PTPK) memberi pinjaman dan bantuan kewangan kepada lebih ramai rakyat tempatan.

“Ini termasuk mereka yang mengikuti program latihan bukan SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) tetapi mempunyai permintaan tinggi oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan Buku Biru, RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dengan ia membabitkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan.

Fasal 10 bertujuan memasukkan bahagian baharu iaitu VIIA, mengandungi Seksyen 36A ke dalam Akta 652, memperuntukkan Ketua Pengarah boleh, tertakluk kepada terma dan syarat sesuai untuk memberi pengiktirafan kepada program latihan lain yang tidak berasaskan standard.

Ia membabitkan program yang membolehkan pemberian pinjaman latihan kemahiran atau bantuan kewangan latihan kemahiran Perbadanan Tabung Kemahiran di bawah Akta Tabung Kemahiran 2004 (Akta 640).

RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 pula bertujuan meminda Akta 640 dengan ia membabitkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan.

Ketika membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, Sim berkata, bacaan kali kedua dan ketiga kedua-dua cadangan pindaan akta berkenaan akan dibuat pada persidangan kali ini.

Mengenai RUU pindaan Akta 652, Sim berkata, ia bertujuan memperkemas persijilan kemahiran dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.

Katanya, antara teras utama pindaan termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan, membabitkan kementerian strategik dan badan profesional supaya dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih inklusif.

“Mengiktiraf program latihan kemahiran di luar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan bagi tujuan pembiayaan di bawah PTPK, selain menambah baik tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran dari tiga ke enam tahun.

“Memperkenalkan tatacara penggantungan serta pembatalan lebih jelas, telus dan berakauntabiliti serta Sijil Kemahiran Modular Malaysia sebagai laluan pembelajaran fleksibel.

“Ia bagi memastikan sijil berkenaan selari konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan melalui pewujudan kategori baharu iaitu Pakar Kemahiran, Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran,” katanya.

Sim berkata, RUU Pindaan Akta 640 pula bertujuan memperluas skop pembiayaan PTPK dengan antara teras utama pindaan ialah perluasan skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan

kewangan lebih telus serta pengukuhan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan, termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar,” katanya.-BH Online