KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan hanya ada satu pasukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah – yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin – bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Beliau menekankan bahawa tiada pasukan lain dalam UMNO dan BN Sabah.
Sebaliknya, Pengerusi BN itu berkata, Bung Moktar dibantu semua pemimpin termasuk Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
“Bung tidak sendirian… beliau dibantu oleh Rahman, Salleh dan rakan-rakan Ketua UMNO serta BN masing-masing.
“Tiada orang Rahman, tiada orang Bung dan tiada orang Salleh… tetapi semua orang BN Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah, di sini, hari ini.
null
Turut hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; dan Bung Moktar.
Selain itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengulangi penjelasannya mengenai kedudukan UMNO dan BN Sabah yang dimiliki rakyat negeri ini sepenuhnya.
“Siapa kata UMNO Sabah orang Malaya… UMNO dan BN Sabah adalah untuk orang Sabah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO dan BN Sabah 100 peratus dipimpin orang Sabah.
Beliau menegaskan kepimpinan pusat tiada niat menghantar orang dari Semenanjung untuk memimpin parti itu di Sabah.
Malah jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas 29 November nanti, katanya, jawatan Ketua Menteri juga pasti akan dipegang orang Sabah sendiri.
“Untuk Sabah, pastinya Ketua Menteri adalah orang Sabah kerana UMNO dan BN dipimpin orang Sabah, bukan orang Malaya.
“Sabah hanya untuk Sabah dan kita mahu slogan ‘Bikin Balik Sabah’ betul-betul dilaksanakan jika BN berjaya memerintah semula,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, slogan ‘Bikin Balik Sabah’ selaras dengan misi jentera BN untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah mengenai usaha gabungan itu memajukan semula negeri ini dalam semua bidang.
Mengenai pengumuman calon BN, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan Bung Moktar supaya memastikan 80 peratus calon BN Sabah terdiri daripada muka baharu.
“Ia juga mesti mengambil kira calon daripada Wanita, Pemuda, Puteri, MCA dan PBRS,” katanya.-BH Online
