Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick dalam Kabinet akhirnya terjawab selepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu malam ini mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu melalui satu muat naik di Facebook Ewon Benedick Official Media sebentar tadi.

“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

” Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya.

Ewon sebelum ini dilapor menghadiri majlis perpisahan anjuran kakitangan kementeriannya di Putrajaya semalam, malah sumber memberitahu BH bahawa beliau Ewon juga menyatakan akan mula bercuti bermula 11 hingga 29 November ini, namun ketika itu tidak menyentuh mengenai peletakan jawatan.

Dalam perjumpaan dengan warga dan agensi KUSKOP di Temerloh minggu lalu pula, beliau dipetik berkata, ia ‘mungkin ucapan terakhir saya sebagai Menteri KUSKOP dan terima kasih kepada semua yang berkhidmat di kementerian. Saya amat pasti saya akan balik untuk berkhidmat di Sabah. Kalau jumpa mana-mana boleh lagi tegur’.

Ewon dalam pada itu peletakan jawatan menyusul kerana beliau berpegang kepada prinsipnya, sepertimana dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia merujuk penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Janggal terus sertai Kabinet

Beliau berkata, pendirian dan pandangan dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. ⁠AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka. 

“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.

Tambah Ewon, sebagai Presiden UPKO beliau ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan dan ia adalah prinsip dan sebab mengapa dirinya menyertai politik.

“Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.

“Saya telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober itu dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.

“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet, namun berdasarkan pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis itu, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” katanya.

Penghakiman Mahkamah Tinggi

Pada 18 Oktober lalu, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabaluberhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

Menurut kenyataan AGC, mahkamah pada 17 Oktober lalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022.

Kes itu tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran itu.

⁠Pada 24 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan belum menerima notis daripada Ewon yang didakwa mahu meletak jawatan dalam Kabinet berkait isu itu.-BH Online