Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mahukan satu laporan polis dibuat terhadap PAS kerana membuat hantaran media sosial yang bersifat fitnah jenayah.

Beliau berkata bahawa beliau akan menghubungi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan perkara ini.

“Saya akan bercakap dengan Menteri KDN sendiri @saifnasution supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting ini yang jelas satu criminal defamation “dalam proses diberi kerakyatan” adalah penipuan.

“PAS perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” kata Rafizi menerusi satu hantaran yang dibuat di Instagram.

Turut disertakan adalah gambar tangkap layar dari akaun Perikatan Nasional.

Gambar tersebut memetik kata Datuk Razali Idris, ketua penerangan Bersatu dan Adun Kijal.

“SPRM, sila siasat Menteri KDN, KDN, JPN! Isu 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan adalah sangat serius. SPRM perlu siasat segera!”

KDN merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri manakala JPN ialah Jabatan Pendaftaran Negara.

JPN telahpun menjelaskan bahawa angka 54,000 merujuk kepada jumlah permohonan kewarganegaraan dari tahun 2017 hingga 2022.