Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Sebanyak 5.5 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Sehubungan itu, Loke menggesa orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang menyelesaikannya melalui tawaran diskaun 50 peratus yang diberikan JPJ mulai 1 November hingga 30 Disember ini bagi mengelakkan tindakan mahkamah atau disenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM). 

“Bermula 1 Januari depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah, kalau tidak kita akan terus senarai hitam LKM, maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan… sekiranya kesalahan membabitkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan sambutan Deepavali anjuran kementerian itu di sini, semalam. 

Perbezaan kadar diskaun JPJ, polis

Mengulas mengenai perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 70 peratus, Loke berkata, JPJ mengekalkan kadar 50 peratus kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini. 

“Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.

Dalam tempoh empat hari pelaksanaan diskaun terbaharu, JPJ mengutip sebanyak RM7.36 juta bagi 56,156 saman yang dibayar. 

Sebelum ini, Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan PDRM akan diselaras bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya. 

Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan. 

Tindakan bersepadu JPJ, Imigresen tangani syarikat guna pemandu lori warga asing

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi melaksanakan tindakan bersepadu menangani kes syarikat atau pengusaha lori yang menggaji warga asing sebagai pemandu tanpa lesen memandu sah. 

Penguatkuasaan bersepadu itu adalah langkah terbaharu pihaknya selepas mendapati banyak kes berulang, terutama membabitkan pemandu lori sampah yang didapati memandu tanpa lesen sah serta menyalah guna permit kerja, termasuk oleh syarikat pembersihan milik kerajaan negeri Selangor. 

Walaupun amaran dan sesi libat urus telah dibuat sebelum ini, pihaknya mendapati syarikat pembersihan berkenaan masih menggajikan warga asing tanpa lesen memandu sah sebagai pemandu lori sekali gus memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain. 

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga hari ini, JPJ Selangor telah mengesan 5,915 kesalahan membabitkan pemandu warga asing dalam beberapa siri operasi membabitkan syarikat pembersihan tersebut. 

“Sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, notis arah periksa (1,729), notis larangan penggunaan kenderaan (1,620), notis temu siasat (154), notis sita (138) dan notis meminta butiran pemandu (104),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini hari ini.

25 lori sampah disita, denda terlalu ringan

Muhammad Kifli berkata, dalam tempoh 10 hari lalu, 25 lori sampah milik syarikat yang sama telah disita, antara lain disebabkan dipandu oleh warga asing tidak berlesen, tidak mempunyai cukai jalan dan insurans serta kenderaan tidak diselenggara dengan baik. 

Kadar hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang hanya memperuntukkan denda minimum antara RM300 hingga RM1,000 disifatkan terlalu ringan dan tidak memberi kesan pencegahan kepada syarikat atau pengusaha lori. 

“Untuk 25 lori yang disita, JPJ akan mengambil tindakan pelucutan hak di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) namun tindakan ini masih tidak memadai kerana syarikat yang menggaji pemandu tidak sah tidak dikenakan hukuman secara langsung. 

“Kebanyakan pekerja ini menyalah guna permit kerja, jadi semua 25 kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. 

Muhammad Kifli berkata pendekatan penguatkuasaan bersepadu JPJ dan JIM itu adalah langkah baharu bagi menangani kesalahan berulang serta mengelakkan insiden kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat. – BERNAMA