Kuala Lumpur: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bahagian Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) memutuskan hukum pendermaan rahim dan pemindahannya adalah tidak harus kerana ia masih belum mencapai tahap darurat bagi membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan untuk dilakukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jawatankuasa Muzakarah MKI sudah bersidang pada 21 dan 22 Oktober 2014 bagi membincangkan hukum pemindahan rahim.
Katanya, dalam mesyuarat itu, Jawatankuasa Muzakarah MKI sudah meneliti kajian yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) dan menjelaskan bahawa hukum asal pendermaan rahim adalah haram.
“Dari sudut syarak, tujuan mendapatkan zuriat bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan.
“Jadi keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim belum berada pada tahap darurat, malah ia berada pada tahap tahsiniyat,” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Dr Abdul Ghani Ahmad (PAS-Jerlun) mengenai status terkini pengeluaran fatwa berkaitan pemindahan rahim bagi pesakit yang menghadapi penyakit sindrom Mayer-RokintaskyKuster-Hauser (MRKH) yang lahir tanpa rahim.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan wanita yang dilahirkan tanpa rahim atau sindrom Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH) berupaya memiliki anak sendiri jika cadangan pemindahan rahim daripada golongan ibu yang tidak lagi digunakan diterima pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Bagaimanapun, Mohd Na’im berkata, mengambil kira situasi semasa seperti kecanggihan teknologi, kesediaan kepakaran dalam negara, pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) dan lain-lain, kerajaan juga sudah menggerakkan usaha-usaha untuk meneliti isu ini dari sudut pandang syariah.
“Ini adalah untuk memastikan kemaslahatan pesakit yang menghidap penyakit sindrom Mayer-ya,” katanya.-MyMetro Online
