Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang telah dipanggil ke Bukit Aman hari ini. Perkara ini disahkan oleh setiausaha politik beliau, Syahir Sulaiman menerusi laman Facebook.

“Pagi ini kami telah dihubungi pihak Bukit Aman untuk mendapatkan keterangan daripada Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.

“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru, dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman,” kata Syahir yang juga adalah ahli parlimen Bachok.

Syahir menambah bahawa Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, telah pun memberikan keterangan kepada BUkit Aman dan menyerahkan telefon bimbit yang digunakan untuk mengendalikan akaun Facebook rasmi beliau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membantu siasatan.

Adalah dipercayai bahawa beliau ke Bukit Aman susulan ucapan beliau yang menyentuh mengenai bidang kuasa Lembaga Pengampunan bagi pesalah ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar, Sabtu lalu.

Dia mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Menurutnya pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

Malah dia menegaskan undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa.

Justeru menurut bekas duta khas bertaraf menteri itu lagi, PAS mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

Persoalan berkenaan Lembaga Pengampunan adalah berkait dengan bidang kuasa Raja-raja Melayu.

Hadi pernah disoal siasat oleh pihak polis sebelum ini kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mengenai rasuah.