Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Dua kawasan di Jelebu akan dijadikan lokasi pertama perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Negeri Sembilan yang akan bermula pada awal 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri telah meluluskan dua kawasan terbabit bagi aktiviti berkenaan.

Katanya, ia akan dijadikan projek perintis sebelum memperluaskannya ke kawasan lain termasuk satu di Tampin, yang telah dikenal pasti dan kini dalam proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Saya yakin aktiviti perlombongan REE di negeri ini akan dapat dilaksanakan awal tahun hadapan di dua lokasi di Jelebu, sebagai projek perintis.

“Satu lagi lokasi REE adalah di Tampin milik swasta dan ketika ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan EIA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2025, di sini, petang tadi.

Turut hadir, EXCO Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri telah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang menjadi panduan kepada langkah keselamatan selain SOP ditetapkan di peringkat Persekutuan dalam memastikan kelancaran proses perlombongan REE terbabit.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, semua pembangunan REE ini akan dilaksanakan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

Beliau menegaskan, kerajaan negeri berhati-hati dalam memberikan kelulusan kerana terdapat kawasan yang mempunyai REE adalah milik persendirian selain perlu pastikan aktiviti perlombongan tidak memberi kesan kepada tanah lain yang berhampiran.

“Kita tidak mahu kesan aktiviti perlombongan menimbulkan masalah kepada pihak lain terutama pemilik tanah berhampiran,” katanya yang menegaskan dilarang melakukan aktiviti perlombongan REE Hutan Simpan Kekal (HSK).

Sebelum ini, beliau memaklumkan Negeri Sembilan memiliki NR-REE dianggarkan bernilai RM30 bilion, namun perincian lokasinya belum dikenal pasti sepenuhnya.-BH Online