Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia masih bebas memilih pembekal terbaik membabitkan sektor strategik seperti tenaga dan mineral kritikal dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Artikel 5.3 dalam perjanjian itu menetapkan bahawa Malaysia tidak akan membeli reaktor nuklear, rod bahan api atau uranium diperkaya daripada negara-negara tertentu kecuali jika tiada pembekal lain yang menawarkan terma dan syarat setanding.

Tegasnya, kata kunci pengecualian itu penting kerana ia memberi ruang kepada Malaysia untuk mendapatkan bekalan pada harga dan terma terbaik, selaras dengan kepentingan ekonomi negara.

Justeru, katanya, jika ada negara boleh bekalkan dengan terma dan harga yang lebih baik, maka Malaysia tiada halangan untuk membuat perolehan dari negara itu.

“Kalau A dan B jual harga yang sama, keutamaan mungkin negara A, tetapi kalau B jual pada harga yang jauh lebih murah daripada A, maka pengecualian ini terpakai kerana syarat dari A tidak setanding dengan B,” katanya dalam satu penjelasan di platform media sosial rasmi beliau.

Mengenai telahan kononnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak membuat semakan dengan kementerian lain turut disangkal dan menyifatkannya agak ‘nakal’.

Tengku Zafrul menjelaskan, pasukan perunding Malaysia terdiri daripada pakar berpengalaman luas dalam rundingan perdagangan antarabangsa.

“Sepanjang proses ini, semua kementerian dan agensi berkaitan dirujuk untuk memastikan aspek penting diambil kira,” katanya.

Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara bukan sekadar sedia dan semak perjanjian, tetapi terbabit sejak awal dalam proses rundingan.

Beliau berkata, perjanjian penuh juga dibentangkan beberapa kali dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Versi penuh perjanjian akhir selepas semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara dibentang dan diluluskan oleh Kabinet untuk ditandatangani,” katanya.

Menjawab kebimbangan sesetengah pihak mengenai ketiadaan frasa khusus berkaitan kedaulatan negara dalam artikel 5.1 perjanjian itu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa perlindungan terhadap kedaulatan Malaysia terpelihara.

“Walaupun dalam artikel 5.1 tak disebut secara terang perkataan ‘sovereignty’ (kedaulatan), tetapi frasa di dalamnya membuktikan bahawa kedaulatan Malaysia tetap terpelihara,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, perjanjian ART turut memperkenalkan mekanisme penilaian pelaburan masuk bagi mengelak risiko keselamatan negara.

Katanya, langkah itu dilihat perlu bagi memastikan Malaysia tidak menerima pelaburan daripada sumber haram, kegiatan pencucian wang atau individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

Beliau turut menegaskan bahawa AS tidak menentukan pelaburan yang dibenarkan masuk ke Malaysia, keputusan sepenuhnya berada dalam tangan kerajaan.

Berhubung dakwaan kononnya ART mempengaruhi perolehan kerajaan, Tengku Zafrul menegaskan bahawa semua pembelian yang disenaraikan adalah urus niaga komersial sedia ada oleh syarikat tempatan dan tidak membabitkan dana kerajaan.

Beliau berkata, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) yang diumumkan pada Mac lalu, contohnya, dilakukan jauh lebih awal daripada pengumuman tarif oleh AS.-BH Online