Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tahun Kemahiran ASEAN, ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, inisiatif utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, melabuhkan tirainya dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala bertemakan Colours of Success: A Celebration of Achievements di sini , Rabu lalu.

Majlis gilang-gemilang itu menandakan kemuncak kepada perjalanan setahun pelaksanaan AYOS 2025 yang meraikan kejayaan serta pencapaian bersama dalam memperkukuh pembangunan kemahiran di rantau ini.

Majlis berkenaan diserikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; serta Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F Houngbo.

Dilancarkan secara rasmi pada 14 April lalu di Kuala Lumpur, AYOS 2025 diterajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan ILO dan Sekretariat ASEAN (ASEC).

Bertemakan Bridging Talent, Building ASEAN, inisiatif itu menonjolkan komitmen bersama rantau ini dalam membina ekosistem kemahiran inklusif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Fadillah dalam ucapan berkata, AYOS 2025 mencerminkan keyakinan, pelaburan dalam kemahiran bukan sahaja untuk rakyat, tetapi juga masa depan dan kemakmuran ASEAN.

“Inisiatif ini meletakkan pembangunan modal insan di tengah-tengah agenda serantau, memperkenalkan model inovatif, memacu kerjasama berasaskan industri serta membangunkan rangka kerja mobiliti bakat dan pengiktirafan bersama merentasi sempadan,” katanya.

Sementara itu, Houngbo menegaskan, momentum yang dibina melalui AYOS 2025 menjadi asas kukuh bagi masa depan pembangunan kemahiran serantau.

“Kerjasama antara Kerajaan Malaysia, HRD Corp dan ILO akan menyumbang besar ke arah pembangunan tenaga kerja yang selari dengan pertumbuhan ekonomi hijau dan digital,” katanya.

Tenaga kerja berkemahiran  

Steven pula menegaskan, AYOS 2025 membuktikan komitmen kolektif ASEAN dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan inklusif.

“Kita bukan sahaja meraikan kejayaan AYOS, tetapi juga memperbaharui tekad memperkasa bakat di seluruh rantau ini agar terus berkembang dalam dunia kerja yang dinamik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan, pula menyifatkan perjalanan AYOS 2025 sebagai lambang kekuatan kolaborasi antara negara ASEAN dalam membentuk tenaga kerja mampan dan berdaya saing.

Sepanjang tahun, tujuh platform utama dilaksanakan bagi merapatkan jurang kemahiran dan memperkukuh keterangkuman, antaranya ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (AHCDIS); National Training Week (NTW); ASEAN Training Market Conference (ATMC); ASEAN TVET Conference; serta Global Skills Forum (GSF).

Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 turut mencatat kejayaan dengan penyertaan hampir 3,000 delegasi serta menjana nilai pendaftaran baharu melebihi RM3 juta dalam tempoh tiga hari.

Kemuncak AYOS 2025 turut menyaksikan Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) yang menghasilkan Joint Statement on Skills Development for the Future Workforce in ASEAN, menzahirkan komitmen berterusan negara anggota terhadap pembangunan kemahiran masa depan.

Majlis Gala turut dihadiri Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Menteri Tenaga Kerja ASEAN; duta serta wakil agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.

Walaupun AYOS 2025 melabuhkan tirai, semangat serta asas kukuh yang dibina akan terus memacu kerjasama serantau dalam membentuk tenaga kerja ASEAN yang berkemahiran, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.-BH Online