Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 1 November– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa beriltizam penuh untuk memastikan sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global, sentiasa menepati prinsip syariah dan diterima pakai oleh negara Islam dan bukan Islam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan memberitahu sebarang dakwaan bahawa negara berkompromi terhadap standard halal adalah tidak benar dan tidak berasas.

Tegasnya, Malaysia hanya mengiktiraf sijil halal daripada badan pensijilan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, selepas melalui proses audit menyeluruh mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production.

Penilaian itu mesti dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah dan laporan audit diperakukan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh JAKIM. 

“Justeru, semua badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM dikehendaki mematuhi sepenuhnya semua standard dan piawaian yang ditetapkan Malaysia termasuk menepati aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit, tanpa pengecualian,” kata kenyataan itu.

Semua produk import tetap tertakluk kepada penilaian oleh JAKIM, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi memastikan integriti, ketelusan dan ketegasan sistem halal negara terus terpelihara.

“JAKIM akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi bagi memastikan semua produk halal, sama ada tempatan atau import mematuhi Standard Halal Malaysia sepenuhnya,” tambah kenyataan itu.-Berita RTM