KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) memuji peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, menyifatkannya sebagai luar biasa dan mengagumkan sambil menyatakan harapan untuk mengukuhkan kerjasama dengan rantau itu melalui peningkatan nilai hak asasi manusia dalam perjanjian ekonomi dan perdagangan masa hadapan.
Wakil Khas EU bagi Hak Asasi Manusia, Kajsa Ollongren berkata EU melihat Malaysia sebagai rakan penting di rantau ini, terutamanya dalam memajukan dialog dasar mengenai hak asasi manusia di samping kerjasama yang lebih luas dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Malaysia telah melakukan tugas yang luar biasa sebagai Pengerusi ASEAN.
“Bagi Kesatuan Eropah, Malaysia merupakan rakan yang sangat relevan bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan asing, tetapi juga secara khusus dalam agenda berkaitan hak asasi manusia dan ekonomi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di luar lawatannya ke sini, baru-baru ini.
Ollongren berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini telah memainkan peranan penting dalam menyokong dialog antara agensi hak asasi manusia serantau dan antarabangsa bagi menamatkan penindasan dan kekejaman terhadap orang awam di Myanmar.
Bagaimanapun, beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan, sambil menggesa ASEAN supaya mendesak pihak-pihak yang bertelagah di Myanmar supaya menghentikan keganasan terhadap orang awam.
Beliau mengesahkan semula sokongan EU terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) yang diterajui ASEAN yang bertujuan menamatkan keganasan dan memulihkan kestabilan di negara itu.
Krisis yang tercetus selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, telah membawa kepada konflik yang meluas dan memaksa ribuan orang awam meninggalkan rumah mereka serta mencari perlindungan di luar negara, termasuk di Malaysia.
Sehingga Mei 2025, terdapat 200,260 pelarian dan pencari suaka dari Myanmar yang berdaftar di Malaysia.
Mereka yang terjejas terdiri daripada etnik Rohingya, China dan kumpulan etnik lain dari kawasan yang dilanda konflik atau mereka yang melarikan diri daripada penganiayaan dan penindasan di negara itu.
Memperjuangkan kerjasama dalam bidang hak asasi manusia
Mengulas lanjut, Ollongren berkata EU berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN lain untuk memastikan prinsip hak asasi manusia diterapkan dalam kerjasama perdagangan antara kedua-dua rantau pada masa hadapan.
“Saya berharap apabila kita bergerak ke hadapan dengan perjanjian perdagangan bebas, kita akan dapat mengambil kira kebimbangan mengenai hak asasi manusia, dengan matlamat untuk mengukuhkan peranannya (hak asasi manusia) sebagai komponen penting dalam perjanjian masa depan yang sedang dirundingkan,” katanya.
EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2024, manakala Malaysia ialah rakan dagang ke-22 terbesar EU dengan jumlah dagangan berjumlah €46.4 bilion.
Di peringkat serantau, Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar EU dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Pada 20 Januari 2025, EU dan Malaysia mengumumkan penyambungan semula rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang komprehensif dan moden, dengan pusingan pertama berlangsung pada akhir Jun.
Perjanjian itu pada mulanya dilancarkan pada 2010. Pada 2012 dan selepas tujuh pusingan rundingan, ia ditangguhkan atas permintaan Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Eropah, pada 2023, kedua-dua pihak memulakan proses semakan bagi menentukan kedudukan masing-masing berhubung kemungkinan penyambungan semula rundingan.
EU kemudian melaksanakan latihan penentuan skop secara bersama dengan Malaysia untuk menentukan skop dan tahap aspirasi perjanjian perdagangan masa depan, yang selesai pada Disember 2024.
Memajukan Dialog Hak Asasi Manusia
Ollongren baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Dialog Dasar EU-ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia, platform utama untuk perbincangan mengenai hak asasi manusia antara kedua-dua rantau dalam tempoh sedekad lalu.
Mesyuarat itu merangkumi pelbagai tema, termasuk masyarakat sivil dan hak politik, hak alam sekitar dan hak buruh, yang mencerminkan tahap pembangunan serantau semasa dan landskap hak asasi manusia yang berkembang di ASEAN.
Ollongren berkata beliau turut mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan dengan Ahli Parlimen Malaysia mengenai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pelarian.
“Saya telah membincangkan kemungkinan Malaysia menyertai konvensyen itu untuk mengukuhkan hubungan dengan UNHCR, dan Malaysia juga boleh mendapat manfaat daripada kapasiti dan keupayaan agensi itu,” katanya.
Beliau juga mengadakan dialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi meneruskan usaha bersama untuk memperkukuh perlindungan hak asasi manusia dan ruang sivik di rantau ASEAN.– BERNAMA