Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lebih 254,000 golongan dewasa di negara didapati mengalami masalah obesiti menerusi Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, jumlah itu daripada 1.2 juta dewasa yang menjalani saringan di seluruh negara, setakat September tahun ini.

Kata beliau, jumlah itu mewakili 30.9 peratus yang mengalami obesiti dan 30.8 peratus lagi mengalami masalah berlebihan berat badan.

“Dapatan berkenaan menggambarkan skala sebenar yang menjejaskan lebih separuh populasi dewasa di negara ini.

“Ini satu isyarat kepada kita kerana obesiti kini bukan lagi sekadar isu gaya hidup, sebaliknya juga cabaran kesihatan awam yang mendesak serta memerlukan pengesanan awal, intervensi dan perubahan persepsi masyarakat,” katanya pada majlis penutup Kempen Kesedaran Obesiti, My Best Me di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 juga mendapati 54.4 peratus dewasa di Malaysia mengalami masalah berlebihan berat badan atau obes, meningkat 22 peratus sejak 2011.

Kata beliau, obesiti memerlukan tindakan kolektif segera bagi mengelakkan impak kesihatan dan ekonomi yang lebih parah.

Ini kerana masalah obesiti berpotensi meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk diabetes, angin ahmar, barah dan penyakit jantung yang menyumbang lebih 70 peratus daripada kematian di Malaysia.

Selain itu, rawatan untuk penyakit berkenaan pula menelan kos melebihi RM64 bilion setahun kepada ekonomi negara.

“Justeru, bagi mengurangkan masalah ini, KKM memperkenalkan pengurusan obesiti klinikal bersepadu di peringkat penjagaan primer membabitkan 10 klinik kesihatan terpilih.

“Pendekatan lain seperti rawatan farmakologi dan pembedahan bagi kes tertentu turut diperluaskan,” katanya.

Jelas Dr Dzulkefly lagi, inisiatif berkenaan akan disokong menerusi laluan rujukan berstruktur, pasukan pelbagai disiplin serta petugas terlatih.

Katanya, selama ini, usaha kerajaan lebih tertumpu kepada pendekatan bukan farmakologi seperti menggalakkan diet sihat, aktiviti fizikal dan sokongan tingkah laku.

“Walaupun pendekatan itu kekal penting, kita kini beralih kepada kaedah bersepadu yang turut merangkumi rawatan farmakologi dan jika sesuai, pilihan pembedahan untuk mengurus obesiti sebagai penyakit kronik.

“Usaha menangani obesiti sememangnya memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan rakyat dengan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, industri serta komuniti sebagai rakan kerjasama penting,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut menekankan kepentingan menghentikan stigma terhadap obesiti, dengan menjelaskan bahawa mereka yang mengalami obesiti sering dianggap kurang berdisiplin.

Sedangkan hakikatnya, mereka berdepan dengan masalah kesihatan sebenar.

“Jadi, naratif mengenai obesiti perlu berubah daripada menyalahkan kepada memahami, dan daripada menghukum kepada menyokong.

“Ia supaya mereka yang terkesan dapat menerima maklumat tepat, rawatan segera serta layanan penuh belas kasihan,” katanya.-MyMetro Online