SHAH ALAM, 11 Oktober- Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam disambut baik Kerajaan Selangor kerana diyakini mampu memperkukuh ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata, belanjawan bertemakan Belanjawan Rakyat itu menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap Selangor Aero Park bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memposisikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan, logistik dan kargo serantau, seiring peranan Selangor sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Menurutnya, langkah itu membuktikan keyakinan kerajaan pusat terhadap kekuatan ekonomi Selangor yang kekal sebagai peneraju pembangunan negara.
Amirudin turut mengalu-alukan peningkatan peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta cadangan Rang Undang-Undang TVET yang dijangka melahirkan tenaga kerja mahir dan menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, peruntukan bagi program tebatan banjir, termasuk Projek Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Buloh Fasa Dua, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu perubahan iklim dan keselamatan rakyat.
Kerajaan negeri juga menghargai langkah memperkukuh sistem kesihatan awam, pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor serta penambahan 310 bas dan 300 van baharu bagi meningkatkan capaian pengangkutan awam.
Amirudin yakin Belanjawan 2026 akan terus memelihara kepentingan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat, selaras hala tuju Malaysia MADANI dan pembangunan negeri Selangor.-Berita RTM