KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus bermuafakat dengan negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan ke Gaza, seterusnya membuka jalan kepada keamanan hakiki demi menegakkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran dan akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri, sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia. Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka!” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan merangka strategi baharu bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, antaranya membabitkan laluan darat menerusi Rafah, Mesir.
Katanya, strategi itu antara ‘ikhtiar’ bakal dilakukan Malaysia dalam usaha untuk memecahkan ‘tembok’ rejim Zionis di bumi Palestin selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, dipintas tentera Israel.
Bagi merealisasikan gelombang kedua misi kemanusiaan Sumud Nusantara, Perdana Menteri berikrar menggunakan segala ruang diplomasi, antaranya dengan menghubungi Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi untuk berunding supaya Rafah dibenarkan sebagai pintu masuk ke Palestin.
Mengenai perhimpunan malam tadi, Anwar menyifatkan ia sebagai bukti rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat rakyat Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya.-BH Online
