Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua parti politik yang bertanding di dalam pilihan raya kecil (PRK) parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram supaya mematuhi etika dan peraturan semasa berkempen.
“Berhubung dengan etika kempen dan juga bantuan-bantuan kerajaan, kita telah berbincang dengan Menteri Besar (agar tidak ada pelanggaran).
“Kita hormat peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan keduanya, perkara berbangkit (iaitu) penyaluran bantuan kerajaan menggunakan lambang parti, ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua berlaku dalam kerajaan perpaduan.
“(Saya tegaskan) bantuan kerajaan perlu disalurkan atas nama kerajaan,” katanya ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Menyampaikan Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Kempas.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.
Penamaan calon untuk kedua-dua tersebut akan berlangsung esok manakala pengundian awal pada 5 September. Hari pengundian pula ialah pada 9 September.
PRK untuk kedua-dua kawasan ini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub merangkap timbalan presiden Amanah pada 23 Julai.