Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah dua makmal kardiologi invasif (ICL) di Pusat Jantung Serdang, dengan perolehan dijadualkan pada 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu penting bagi memperkukuhkan rawatan jantung di hospital kerajaan, selain memberi penekanan kepada pencegahan penyakit kardiovaskular yang kekal sebagai pembunuh utama di negara ini.

“Insya-Allah, kita akan menambah dua lagi ICL di Pusat Jantung Serdang. Ini perolehan 2026 dan kita jangka dapat dilaksanakan pada 2027,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah HSIS, Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Mengulas lanjut mengenai keperluan menambah fasiliti rawatan atau program saringan jantung, Dr Dzulkefly berkata, KKM mengambil pendekatan pelbagai hala dengan memperkasakan fasiliti rawatan akut di hospital utama termasuk di Serdang, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata, beberapa hospital seperti di Melaka; Miri, Sarawak; dan Tawau, Sabah, sudah menerima penambahan makmal angiografi bernilai RM14.5 juta setiap satu, namun aspek pencegahan kekal sebagai fokus utama KKM.

“Jika kita hanya bergantung pada rawatan kuratif, kita akan sentiasa berada dalam keadaan krisis. Hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada tiga menghidap hipertensi, dan satu daripada enam pula menghidap diabetes.

“Ini adalah ‘resipi’ kepada krisis penyakit kardiovaskular yang berterusan. Olah itu, saringan awal, gaya hidup aktif, pemakanan sihat dan pengurusan faktor risiko adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu berhubung Belanjawan 2026 pula, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang dalam perbincangan intensif dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkaitan bagi memperkukuhkan peruntukan kesihatan, termasuk untuk rawatan jantung.

“Kami difahamkan ada perkembangan positif dan insya-Allah, ada berita baik untuk kita semua,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober ini.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM45.3 bilion kepada KKM, meningkat berbanding RM41.2 bilion pada 2024.-BH Online