KUALA LUMPUR: Lebih 2.8 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar MyDigital ID dan lebih 45 platform kerajaan dan swasta telah diintegrasikan, termasuk MyJPJ dan MyBayar PDRM, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Malah, beliau berkata, penggunaan MyDigital ID akan diwajibkan untuk pendaftaran kad SIM prabayar, mengukuhkan keselamatan dan kepercayaan dalam ekosistem digital negara.
Menurutnya, Kabinet tahun ini juga telah meluluskan Dasar Pengkomputeran Awan Nasional (NCCP) bagi menyelaras serta memodenkan perkhidmatan awan kerajaan, sekali gus memperkukuh keberkesanan dan ketahanan infrastruktur digital negara.
“Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Digital kini memacu pelaksanaan pintu masuk tunggal perkhidmatan kerajaan melalui aplikasi MyGov dan portal malaysia.gov.my yang akan diintegrasi dengan MyDigital ID.
“Usaha utama ini bakal memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan, meningkatkan kesalinghubungan antara kementerian dan memastikan menjelang 2030, 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan tersedia sepenuhnya secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada pelancaran Bahagian 2 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia Oktober 2025: ‘Dari Bit kepada Manfaat: Transformasi Digital Sebagai Pemangkin Produktiviti Sektor Awam’, di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.
Gobind berkata, kementeriannya mengakui merealisasikan dasar bukanlah tugas mudah, justeru reformasi digital sektor awam menuntut kerjasama erat antara agensi, kepimpinan dengan visi yang jelas, piawaian bersama serta platform digital yang menyokong pelaksanaan dasar.
Beliau menegaskan, fokus utama bukan sekadar kepada teknologi, tetapi kepada hasilnya iaitu produktiviti sektor awam yang lebih tinggi, penyampaian perkhidmatan lebih baik, kepercayaan rakyat yang meningkat serta keterangkuman digital yang lebih luas.
Dengan sokongan semua pihak, beliau yakin Malaysia mampu membina sebuah kerajaan dan ekonomi yang berdaya saing di peringkat global, berteraskan digital serta berpaksikan rakyat.-BH Online